“Idola Saya Shila Amzah” – Syada

Penyanyi, Syada Amzah, 28, menyifatkan perbandingan yang sering dibuat antara dirinya dan kakaknya, Shila Amzah sebagai sesuatu yang positif, malah diterima dengan hati terbuka.
Menurut Syada, persamaan dari segi personaliti dan cara pembawaan diri antara mereka bukanlah perkara janggal memandangkan kedua-duanya membesar bersama sejak kecil.
“Saya okay sahaja bila orang kata saya macam Shila Amzah. Kawan-kawan yang kenal kami selalu cakap sebenarnya kami ni sama. Kami jenis kelakar dan humor kami pun lebih kepada ‘dark humor’.
“Saya memang tak pernah ambil hati kalau orang samakan saya dengan kakak. Bagi saya itu bukan sindiran. Kami membesar bersama, jadi secara semula jadi memang akan ada persamaan, malah orang kata macam kembar,” katanya dalam sebuah podcast.
Mengulas lanjut, Syada mengakui persepsi orang ramai itu pernah memberi kesan kepadanya suatu ketika dahulu, terutamanya apabila dia sering diasosiasikan dengan Shila dalam pelbagai perkara. Namun, pandangan tersebut berubah apabila dia semakin matang.
“Dulu memang ada terfikir kenapa orang selalu kaitkan saya dengan kakak. Tapi lama-lama saya sedar, itu memang hakikatnya sebab kami membesar sama-sama.
“Kalau orang baca atau tengok betul-betul, salah seorang idola saya memang Shila Amzah. Nak atau tak, dia kakak saya,” jelasnya.
Syada turut menceritakan penglibatannya dalam dunia seni bermula seawal usia lima tahun apabila sering menemani Shila ke sesi rakaman.
“Sejak kecil lagi, saya sudah biasa ikut kakak ke studio. Itu memang sebahagian daripada kehidupan saya,” kata Syada.
Dalam pada itu, Syada tidak menafikan kekagumannya terhadap keupayaan Shila yang disifatkan sebagai seorang penghibur serba boleh.
“Kalau ditanya siapa yang paling ‘multitalented’, bagi saya memang kakak saya,” ujarnya lagi.



