Gaya Hidup

“Ibu Mentua Saya Mahu Che Ta Jadi Ustazah, Bacaan Qurannya Bagus”

Pelakon, Zain Saidin, 41, belum bersedia memberi lampu hijau kepada anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana untuk menceburi dunia seni kerana mahu kanak-kanak itu memberi sepenuh perhatian terhadap pelajaran terlebih dahulu.

Menurut Zain, dia dan isterinya, Rozita Che Wan sepakat untuk menangguhkan hasrat tersebut sehingga Aaisyah menamatkan persekolahan meskipun anak mereka pernah menerima beberapa tawaran dalam bidang lakonan.

Katanya, dia menghormati keputusan ibu bapa lain yang membenarkan anak mereka bergiat aktif dalam industri hiburan sejak kecil, namun memilih pendekatan berbeza.

“Waktu dia bersekolah, saya tak mahu ganggu. Bukan saya kata tidak elok, tetapi berdasarkan pemerhatian saya, apabila kanak-kanak bekerja ketika masih bersekolah, banyak isu boleh timbul.

“Ini pendapat peribadi saya kerana pada usia itu mereka masih kecil dan belum cukup matang untuk mengendalikan pelbagai perkara.

“Kalau sekadar menjayakan iklan atau kandungan promosi (endorsement), tiada masalah. Saya sendiri pernah terbabit dalam iklan ketika kecil. Namun, untuk naskhah yang mengambil tempoh penggambaran panjang, saya lebih rela elakkan.

“Penggambaran iklan biasanya selesai dalam tempoh dua atau tiga hari dan tidak mengganggu persekolahan.

“Berbeza dengan lakonan yang boleh mengambil masa sehingga dua bulan. Kalau popular, akan dipanggil lagi. Bila sudah ditawarkan bayaran, kita mudah leka. Jadi, saya tak mahu mulakan perjalanan ke arah itu,” katanya.

Tambah aktor itu, dia mahu Aaisyah menikmati zaman kanak-kanaknya tanpa dibebani komitmen sebagai seorang anak seni.

Malah, Zain berkata ibu mentuanya juga berharap Aaisyah memberi keutamaan kepada pendidikan sebagaimana hasrat yang pernah disimpan terhadap Rozita suatu ketika dahulu.

“Ibu mentua saya mahu Che Ta jadi ustazah kerana isteri saya sebenarnya dia pandai mengaji dan bacaan al-Qurannya juga bagus. Jadi, dia juga berharap cucunya mengikut jejak sama.

“Saya bersetuju dengan Che Ta supaya tidak benarkan Aaisyah berlakon sekarang. Saya mahu dia habiskan persekolahan dahulu. Selepas itu, kalau dia mahu berlakon atau menyanyi, itu pilihan dia.

“Apabila sudah berusia 18 tahun, hendak kahwin pun kahwinlah. Hendak sambung belajar pun teruskan.

“Hendak jadi tukang sapu pun tak mengapa, tetapi jadilah tukang sapu nombor satu di dunia. Apa juga yang dilakukan, lakukan sebaik mungkin dan capai kejayaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai minat Aaisyah, Zain mengakui anaknya itu pernah menerima beberapa tawaran lakonan, namun sifat pemalu menyebabkan peluang tersebut tidak diteruskan.

“Dia memang ada menerima beberapa tawaran, tetapi Aaisyah ini pemalu. Di media sosial dia petah bercakap kerana berada dalam suasana yang selesa di rumah. Apabila berdepan orang ramai, dia agak malu.

“Dia perlukan masa untuk membiasakan diri. Contohnya, ketika terbabit dalam program masakan bersama Che Ta sebelum ini, isteri saya membawanya ke lokasi dua atau tiga hari lebih awal supaya dia serasi dengan suasana di set. Selepas itu barulah dia selesa di hadapan kamera.

“Tapi saya tahu dia mampu, sama ada dalam lakonan atau nyanyian. Saya fikir dia memang berminat untuk menyanyi, cuma saya sendiri tidak pasti sejauh mana kebolehannya kerana ibu bapanya bukanlah penyanyi hebat. Namun, saya melihat bidang lakonan lebih realistik untuknya,” katanya.

Related Articles

Back to top button