Tolak Tawaran Kerja Gaji RM7,000 Kerana Tak Boleh Work From Home

Seorang wanita mencetuskan perbincangan dalam talian selepas berkongsi yang dia menolak tawaran kerja bergaji RM7,000 kerana jawatan tersebut memerlukan kehadiran ke pejabat sepenuh masa.
Menerusi satu hantaran, wanita itu berkata dia kini menerima gaji RM5,000 dan bekerja sepenuhnya dari rumah.
Bagaimanapun, tawaran kerja baharu yang diterimanya menawarkan gaji lebih tinggi, iaitu RM7,000, tetapi memerlukan dia hadir ke pejabat setiap hari.
Menurutnya, syarikat itu juga tidak menawarkan waktu kerja yang fleksibel yang membolehkannya mengelakkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
Dia berkata, perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam setiap hari. Atas sebab itu, dia membuat keputusan untuk menolak tawaran berkenaan.
Namun, wanita itu mendakwa seorang perekrut kemudian menghubunginya dan menyifatkan tindakannya sebagai ‘tidak bersyukur’, selain mengatakan dia tidak akan menerima tawaran yang lebih baik daripada itu.
Dalam satu hantaran susulan, wanita itu menjelaskan individu yang menghubunginya merupakan wakil daripada agensi pengambilan pekerja, bukannya pihak sumber manusia (HR) syarikat yang menawarkan jawatan tersebut.
Menurutnya, pihak HR syarikat hanya memaklumkan bahawa tawaran yang diberikan sudah cukup lumayan dan keputusan itu adalah terima atau tinggalkan (take it or leave it).
Syarikat itu akhirnya menerima keputusannya untuk menolak tawaran kerja tersebut.
Begitupun, wanita itu mengakui kata-kata ‘tidak bersyukur’ yang dilemparkan kepadanya benar-benar memberi kesan.
Di ruangan komen, ramai netizen menyokong keputusan wanita itu.
Mereka berpendapat kenaikan gaji sebanyak RM2,000 mungkin tidak lagi berbaloi selepas mengambil kira kos petrol, tol, parkir serta masa yang dihabiskan setiap hari untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Seorang netizen berkata memilih pekerjaan yang menawarkan fleksibiliti adalah lebih baik daripada terpaksa menjalani rutin yang tidak disukai.
Seorang lagi pula berpendapat bahawa selepas seseorang merasai pengalaman bekerja dari rumah, agak sukar untuk kembali bekerja sepenuhnya di pejabat, terutama jika tugas tersebut sebenarnya boleh dilakukan secara jarak jauh.
Walaupun ada yang berpandangan kenaikan gaji RM2,000 masih merupakan jumlah yang besar, ramai bersetuju bahawa pada masa kini gaji bukan lagi satu-satunya faktor yang dipertimbangkan oleh pekerja.
Bagi sesetengah individu, masa, fleksibiliti dan ketenangan fikiran adalah sama pentingnya dengan jumlah gaji yang diterima.



