Film

The Keris Hidupkan Semula Legenda Hang Tuah di Layar Perak

Filem epik aksi The Keris bakal menemui penonton di pawagam bermula 2 Julai ini, membawa gabungan elemen sejarah, warisan Melayu, aksi mendebarkan dan drama yang disuntik dengan naratif moden.

Diterbitkan oleh Mathe’s Production House Sdn. Bhd., filem arahan Viknes Perrabu itu tampil dengan jalan cerita yang menghubungkan dua zaman berbeza iaitu era Hang Tuah dan kehidupan masa kini, sekali gus memberikan nafas baharu kepada kisah legenda Melayu.

Menurut penerbitnya, Dr. Matheyalagan, ilham menghasilkan filem tersebut lahir daripada kebimbangannya terhadap generasi muda yang semakin kurang mengenali tokoh-tokoh sejarah tanah air.

“Saya mendapati bahawa kisah sejarah seperti hikayat Hang Tuah yang begitu cukup terkenal semakin dilupakan. Boleh dikatakan segenlintir anak muda hari ini tidak lagi mengenali Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya.

“Maka, ia telah mencetuskan idea dalam diri saya untuk menghasilkan The Keris bagi membangkitkan semula sejarah lama serta seni persilatan yang wajar diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

Filem ini mengisahkan misi seorang anggota mafia antarabangsa yang memburu Keris Tempa Melaka milik Hang Tuah, yang dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri dan kini berada dalam simpanan seorang individu.

Selain mengetengahkan kisah warisan Melayu, The Keris turut menyajikan aksi persilatan tradisional, seni bela diri moden serta pelbagai babak lagak ngeri yang menjadi antara tarikan utama naskhah berkenaan.

Walaupun bukan berbangsa Melayu, Dr. Matheyalagan menyifatkan penghasilan filem bertemakan budaya Melayu sebagai satu penghormatan terhadap warisan negara yang dekat di hatinya sejak kecil.

“Saya sememangnya membesar bersama rakan-rakan Melayu. Malah, saya selalu makan, minum dan tinggal bersama mereka di kampung.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa bangga dapat menghasilkan sebuah karya yang mengangkat budaya serta semangat pahlawan Melayu yang bersejarah,” tambahnya lagi.

Beliau turut mendedahkan pembikinan filem itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana sendiri tanpa sebarang bantuan luar mahupun pembiayaan daripada FINAS.

Sementara itu, pengarah Viknes Perrabu berkata, The Keris menjadi projek sulungnya dalam industri filem Melayu selepas lebih 15 tahun aktif mengarahkan filem Tamil.

Menurutnya, kekuatan skrip serta gabungan elemen sejarah dan identiti budaya menjadi faktor utama beliau menerima tawaran mengarahkan filem tersebut.

“Apabila saya melihat skrip dan jalan cerita filem ini, saya merasakan ia mempunyai potensi yang besar. Kami melakukan banyak kajian mengenai senjata keris, sejarahnya serta adat dan budaya Melayu yang merangkumi pelbagai istilah dan nilai tradisi.

“Filem ini menampilkan gabungan kisah legenda Melayu, khususnya pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat, yang diolah dalam latar kehidupan moden bagi memberikan nafas baharu kepada cerita berunsurkan warisan Melayu,” jelasnya.

Pelbagai adegan menarik dipersembahkan dalam filem ini.

Tambah Viknes, pasukan produksi menjalankan penyelidikan terperinci sebelum skrip dimuktamadkan, termasuk mendapatkan sentuhan Datuk Zulkiflie M. Osman dalam proses pembangunan jalan cerita.

Mengulas cabaran sepanjang pembikinan filem, beliau mengakui faktor bahasa menjadi antara perkara yang perlu disesuaikan memandangkan sebelum ini lebih banyak bekerja dalam produksi filem Tamil.

“Selama ini saya biasa bekerja dalam persekitaran filem Tamil dan memberi penerangan dalam bahasa Tamil.

“Untuk The Keris, komunikasi dalam bahasa Melayu sedikit mencabar terutama ketika memberi arahan atau penjelasan kepada pasukan produksi dan pelakon,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Raja Azrey yang banyak membantu melancarkan proses penggambaran.

The Keris dibintangi Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Raja Azrey dan Datuk Jalaluddin Hassan. Menariknya, filem ini turut menampilkan kemunculan istimewa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerusi watak cameo.

Related Articles

Back to top button