Viral

Hanya Kerana Bersembang Dengan Jiran, Wanita Parah Ditetak Suami

Seorang wanita tempatan di Sabah cedera parah selepas ditetak suaminya yang merupakan warga Indonesia hanya kerana lelaki itu tidak dapat menerima isterinya berbual dengan seorang lelaki lain.

Menurut laporan The Star, kejadian kejam itu berlaku di rumah mangsa di Kampung Mangkupa, yang terletak di daerah Kota Marudu, kira-kira jam 9.30 pagi 25 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Somiun Lomidin berkata, kejadian berpunca daripada perasaan cemburu suspek selepas melihat isterinya berbual dengan seorang jiran lelaki dari kawasan pekarangan rumah mereka.

Hasil siasatan awal polis mendapati suspek sebelum itu telah melarang isterinya daripada bercakap dengan jiran berkenaan, namun mangsa menafikan dakwaan tersebut.

Dipercayai hilang pertimbangan akibat terlalu marah, suspek kemudian mengambil sebilah parang dari dapur sebelum menetak isterinya sebanyak 14 kali, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius.

Mangsa kemudian ditemui oleh anak saudaranya dalam keadaan terbaring berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan. Difahamkan, mangsa kini berada dalam keadaan kritikal namun stabil.

Polis kini sedang giat memburu suspek yang telah berkahwin dengan mangsa selama 19 tahun dan mempunyai enam orang anak bersama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.

Related Articles

Back to top button