Viral

Hisyam Hamid Nafi Ada Hubungan Istimewa Dengan Erysha Emyra

Pelakon, Hisyam Hamid, 40, menafikan dakwaan tular yang mengaitkannya dengan aktres Erysha Emyra, termasuk tuduhan kononnya dia pernah berkunjung ke kediaman pelakon itu seperti yang diperkatakan di media sosial.

Menurut Hisyam, dia menganggap spekulasi tersebut sebagai sesuatu yang janggal buatnya memandangkan sepanjang bergelar anak seni, dia tidak pernah berdepan gosip seumpama itu.

“Bagi saya, perkara ini memang tidak biasa kerana saya tidak pernah menerima gosip seperti itu sebelum ini.

“Mungkin juga kerana Erysha datang daripada generasi yang lebih aktif di media sosial. Kami pula sedang bekerjasama dalam drama yang sama, jadi secara tidak langsung nama saya turut dikaitkan.

“Bagaimanapun, saya menafikan dakwaan tersebut dan tidak melihatnya sebagai sesuatu yang perlu dirisaukan,” katanya.

Mengulas lanjut, pelakon itu mengakui berasa kecewa dan terkilan dengan tuduhan yang dilemparkan, namun memilih untuk tidak terlalu melayan perkara berkenaan.

“Sudah tentu saya rasa kecewa dan marah. Saya sendiri tidak tahu apa tujuan individu yang menyebarkan dakwaan itu, sama ada mahu menjatuhkan saya atau Erysha.

“Saya tidak pernah menjangka akan terlibat dalam kontroversi seperti ini, tetapi bagi saya lebih baik teruskan kehidupan seperti biasa. Akaun yang menyebarkan perkara itu pun sudah tiada,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hisyam berpendapat Erysha adalah individu yang paling terkesan dengan kontroversi tersebut kerana ketika isu berkenaan timbul, pelakon itu sedang melalui fasa sukar apabila bapanya berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Masa perkara itu berlaku, saya berada di Singapura manakala ayah Erysha sedang dirawat di ICU.

“Sudah tentu ia memberi kesan kepada dirinya kerana ketika itu dia sedang berdepan pelbagai perkara yang lebih penting dalam hidup. Jadi saya rasa lebih baik biarkan sahaja gosip itu kerana lama-kelamaan ia akan reda dengan sendiri,” kongsinya.

Sementara itu, Hisyam menjelaskan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar rakan dan teman sekerja meskipun mereka berkawan baik di lokasi penggambaran mahupun di luar set.

Menurutnya, kehadirannya di majlis tahlil arwah bapa Erysha juga tidak seharusnya dijadikan bahan spekulasi kerana ramai lagi rakan-rakan lain turut hadir pada majlis tersebut.

“Kami memang berkawan di set dan juga di luar set. Mungkin orang nampak saya hadir ke majlis tahlil arwah bapanya lalu membuat andaian tertentu.

“Padahal ramai juga yang datang. Bezanya kami sedang bekerja dalam produksi yang sama, jadi mungkin perkara itu lebih mendapat perhatian.

“Tetapi tidak ada apa-apa hubungan istimewa. Kalau ada pun, ia hanyalah kasih sayang sebagai seorang kawan dan rakan sekerja,” jelasnya lagi.

Related Articles

Back to top button