Bella Astillah Ajak Buat Solat Hajat, Minta Doakan Syed Saddiq

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 32, mengajak orang ramai untuk bersama-sama menghadiri majlis solat hajat dan doa selamat bagi mendoakan urusan rayuan akhir membabitkan tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dipermudahkan.
Bella, berkata, majlis berkenaan akan diadakan pada malam Khamis di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya sebagai tanda ikhtiar serta memohon agar segala urusan mahkamah yang bakal berlangsung pada 30 Jun ini dipermudahkan.
“Sebenarnya saya ingin memohon jasa baik semua untuk sama-sama mendoakan urusan kes Syed Saddiq yang akan berlangsung pada 30 Jun nanti.Saya juga ingin menjemput semua yang berkelapangan hadir ke majlis solat hajat dan doa selamat untuk Syed Saddiq di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra.
“Kepada yang bukan beragama Islam juga dialu-alukan hadir selepas pukul 8.30 malam. Bagi yang ingin menyertai solat berjemaah, bolehlah datang sekitar pukul 7 malam untuk menunaikan solat Maghrib bersama-sama, insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran video.
Bella turut berharap orang ramai dapat meluangkan masa untuk hadir bagi memberikan sokongan moral kepada Syed Saddiq.
Menerusi hantaran sama, Bella turut menitipkan doa agar tunangnya dikurniakan ketabahan dan diberikan keputusan yang terbaik.
“Semoga Allah SWT mengurniakan ketenangan, kekuatan dan keadilan buatnya. Doa serta kehadiran anda semua amat bermakna sebagai tanda kasih dan sokongan,” ujarnya.
Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan dijadualkan membuat keputusan terhadap rayuan akhir pendakwaan berhubung pembebasan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan melibatkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada 30 Jun ini.
Sebelum ini, pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Syed Saddiq sekali gus mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Bagaimanapun, sehari kemudian Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dalam sebuah majlis yang dihadiri ahli keluarga serta kenalan rapat.



