Berita

Sudah Bercerai, Perkahwinan Sharifah Husna & Halim Radzi Hanya Bertahan 4 Tahun

Pasangan pelakon Sharifah Husna dan Halim Radzi mengesahkan rumah tangga yang dibina hampir empat tahun lalu telah berakhir apabila mereka sah bercerai talak satu.

Memetik laporan Mstar, Sharifah Husna mengesahkan perkara tersebut sekali gus menamatkan spekulasi yang sebelum ini hangat diperkatakan mengenai hubungan mereka.

Menurut sumber, Halim melafazkan talak di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor selepas kedua-dua mereka dipercayai tidak lagi mencapai persefahaman dalam perkahwinan.

Sementara itu, Halim memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perpisahan tersebut dan menegaskan urusan rumah tangga adalah perkara peribadi yang tidak mahu dikongsikan kepada umum.

Walaupun tarikh sebenar perceraian tidak didedahkan, Husna difahamkan telah selesai menjalani tempoh iddah.

Difahamkan, pasangan berkenaan berpisah secara baik dan masih mengekalkan hubungan persahabatan meskipun tidak lagi bergelar suami isteri.

Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi mengenai keretakan rumah tangga mereka selepas Husna memuat naik video di TikTok yang memperlihatkan dirinya menahan air mata, sekali gus mengundang tanda tanya dalam kalangan peminat.

Keadaan itu semakin menguatkan desas-desus apabila kedua-duanya dilihat memadam gambar bersama daripada akaun media sosial masing-masing.

Untuk rekod, Sharifah Husna dan Halim mendirikan rumah tangga pada 21 Oktober 2022.

Related Articles

Back to top button