Suaro Kito, Jiwo Kito! Kelate Ke KL 2026 Bakal Satukan Peminat Muzik Pantai Timur Di Zepp Kuala Lumpur

Fenomena hiburan Pantai Timur bakal menggegarkan ibu kota menerusi penganjuran konsert mega Kelate Ke KL 2026 yang dijadual berlangsung pada 29 Ogos hadapan di Zepp Kuala Lumpur.
Mengangkat tema Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate, konsert ini bakal menjadi platform terbesar yang menghimpunkan artis-artis kebanggaan Kelantan dalam sebuah persembahan istimewa yang meraikan seni, budaya dan identiti negeri Cik Siti Wan Kembang.
Acara tersebut dijangka menarik kehadiran ribuan peminat muzik Pantai Timur serta anak-anak Kelantan yang menetap di seluruh negara untuk bersama-sama menikmati malam penuh nostalgia, hiburan dan semangat kenegerian.
Antara nama besar yang bakal menghangatkan pentas Kelate Ke KL 2026 ialah Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Capella.
Kehadiran barisan artis popular ini pastinya menjanjikan persembahan bertenaga yang mampu mengubati kerinduan peminat terhadap lagu-lagu dan hiburan yang dekat dengan jiwa masyarakat Pantai Timur.
Menurut Pengarah Projek Kelate Ke KL 2026, Mas Ayie Mas Omar, penganjuran konsert tersebut bukan sekadar sebuah acara hiburan semata-mata, sebaliknya merupakan satu inisiatif untuk mengangkat identiti, seni dan budaya negeri berkenaan ke pentas yang lebih besar.
Beliau berkata, acara berkenaan turut menjadi medan untuk menghimpunkan anak-anak Kelantan dari pelbagai latar belakang serta peminat muzik Pantai Timur dalam satu acara berprestij yang mampu memperkukuhkan semangat perpaduan dan kebanggaan terhadap warisan negeri.
Tambah beliau, pihak penganjur juga sedang merancang pelbagai pengisian menarik yang akan diumumkan secara berperingkat menjelang hari penganjuran.
Antaranya termasuk penampilan khas daripada tetamu jemputan, segmen berunsurkan budaya serta beberapa kejutan eksklusif yang diyakini mampu menambahkan lagi kemeriahan konsert berkenaan.
Mengenai penjualan tiket, pihak penganjur memaklumkan bahawa maklumat lanjut termasuk tarikh rasmi jualan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Kelate Ke KL 2026 dianjurkan menerusi kerjasama Natriya Enterprise, Irama Entertainment dan Ikarl Project yang komited menjadikan acara ini sebagai salah satu konsert terbesar yang meraikan keunikan muzik dan budaya Kelantan di ibu negara.
Dengan gabungan artis popular, elemen budaya yang kuat serta sokongan komuniti anak Kelantan dari seluruh negara, Kelate Ke KL 2026 berpotensi menjadi sebuah malam yang bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi simbol kebanggaan terhadap suara dan jiwa rakyat Kelantan yang terus mekar walau di mana mereka berada.



