Pengacara TV Dikecam Lepas Kritik Bintang Bola Sepak Tinggalkan Kerja Demi Kelahiran Anak Pertama

Seorang pengacara televisyen dari Perancis memohon maaf selepas mengkritik secara terbuka pemain sayap Belgium, Jeremy Doku, kerana mahu meninggalkan kempen FIFA World Cup 2026 untuk bersama isterinya ketika kelahiran anak pertama mereka.
Doku, 24, yang beraksi bersama Manchester City, mendedahkan kepada media bahawa isterinya, Shireen, dijangka melahirkan anak pada minggu kedua Julai.
Tarikh tersebut dijangka bertembung dengan peringkat suku akhir kejohanan berkenaan.
Doku berkata dia tetap mahu berada di sisi isterinya apabila saat itu tiba.
“Segalanya bergantung kepada bila ia berlaku, tetapi ini adalah anak pertama saya. Jadi, saya sememangnya mahu berada di sana.
“Jika anda bertanya apa yang saya mahukan, jawapannya ialah tiada siapa yang mahu terlepas kelahiran anak pertama mereka. Namun saya juga sedar bahawa bola sepak melibatkan banyak pertimbangan lain,” katanya.
Media Belgium melaporkan bahawa perancangan sedang dibuat bagi membolehkan Doku pulang menggunakan jet peribadi sekiranya diperlukan.
Namun kenyataan itu mencetuskan kontroversi yang tidak dijangka bukan terhadap Doku, sebaliknya terhadap pengacara Channel L’Equipe, France Pierron, yang mengkritik keputusan pemain itu menerusi media sosial.
Dalam hantarannya, Pierron menulis: “Piala Dunia adalah satu kegembiraan yang luar biasa. Terdapat ratusan pemain bola sepak yang sanggup melakukan apa sahaja untuk berada di tempat anda. Ia mungkin tidak akan berlaku lagi dalam hidup anda.
“Anda sedang menjalani impian zaman kanak-kanak, dan anda mahu meninggalkan semua itu hanya untuk menyaksikan kelahiran anak anda, yang maaf saya katakan, adalah satu detik yang menjijikkan di mana si bapa langsung tidak berguna.
“Ada peminat yang membuat pinjaman semata-mata untuk datang menyaksikan perlawanan, tetapi anda pula mahu meninggalkannya hanya untuk memotong tali pusat bayi,” katanya
Hantaran tersebut menerima ratusan komen, dengan majoriti besar menyokong Doku.
Bekas peninju Olimpik Perancis, Brahim Asloum, antara yang tampil membalas kenyataan itu.
“Seorang bayi adalah seluruh hidup anda. Piala Dunia pula akan berakhir apabila ia berakhir,”ujarnya.
Penyerang England, Ollie Watkins, yang juga bapa kepada dua anak turut mempertahankan Doku.
“Saya rasa perkataan ‘menjijikkan’ bukan cara yang sesuai untuk menggambarkan kelahiran.
“Anak pertama hanya lahir sekali. Menyambut kehadiran mereka ke dunia adalah satu rahmat dan anda tidak akan mendapat peluang itu semula.
“Terdapat banyak masa sepanjang musim di mana pemain terpaksa berjauhan daripada keluarga dan rakan-rakan dan ia adalah tempoh yang sangat sukar. Jadi, terlepas detik itu pasti sesuatu yang berat,” tegasnya.
Watkins turut menambah bahawa Doku mempunyai sokongan yang mencukupi untuk membolehkannya pulang dan kembali semula dengan cepat selain menegaskan bahawa keputusan tersebut adalah hak peribadi pemain berkenaan.
Berikutan kecaman yang diterimanya, Pierron akhirnya mengeluarkan permohonan maaf menerusi platform X.
“Saya hanya menyuarakan pandangan peribadi dalam konteks satu perdebatan.
“Kenyataan tersebut hanya mewakili diri saya dan sama sekali tidak mencerminkan pendirian kolektif mana-mana pihak.
“Saya memahami bahawa kata-kata itu mungkin mengejutkan, menyinggung atau melukakan sesetengah daripada anda, dan saya memohon maaf atas perkara itu.
“Niat saya tidak pernah untuk memperkecilkan peranan atau kepentingan seorang bapa terhadap pasangan dan anak mereka,” katanya.



