Global

Tiga Cedera Lembu Mengamuk Di Jalan Raya

Seekor lembu ditembak mati selepas mengamuk di jalan raya sekitar Changsha, China sehingga mencederakan tiga individu.

Menurut media tempatan, kejadian itu berlaku pada 21 Jun lalu kira-kira pukul 1 pagi di pintu masuk Keluar 4A stesen Wanjiali Square Station.

Video yang tular di media sosial menunjukkan lembu tersebut merempuh dua individu sehingga menyebabkan mereka terjatuh.

Dalam salah satu rakaman, kasut salah seorang mangsa turut tercampak ke udara akibat impak rempuhan itu.

Menurut saksi, lembu berkenaan dipercayai meluru keluar dari sebuah premis penjual daging lembu berhampiran sebuah pasar borong.

Haiwan itu dikatakan dijadualkan untuk disembelih pada hari kejadian.

Bagaimanapun, lembu tersebut dipercayai terkejut sebelum hilang kawalan.

Ia kemudian berlari di jalan raya dan menyerang dua lelaki yang berada di laluannya.

Haiwan itu turut mencederakan seorang lagi individu dalam insiden berasingan.

Beberapa orang awam dilaporkan menyelamatkan diri dengan berlindung di gerai-gerai tepi jalan bagi mengelakkan diserang.

Peniaga pasar borong berkenaan kemudiannya menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

Menurut laporan, polis tempatan memaklumkan bahawa lembu tersebut akhirnya ditembak mati berhampiran Jalan Liangxiao sekitar jam 2.53 pagi.

Dua mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan susulan kejadian itu.

Seorang daripada mereka dilaporkan mengalami patah tulang rusuk.

Bagaimanapun, semua kecederaan yang dialami mangsa tidak mengancam nyawa.

Related Articles

Back to top button