Metal Queens Gegar Kuala Lumpur! Lovebites Bakal Temui Peminat Malaysia Oktober Ini

Impian peminat muzik heavy metal tempatan untuk menyaksikan aksi bertenaga kumpulan wanita sensasi dari Jepun, Lovebites bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Selepas hampir sedekad mencipta nama sebagai antara kumpulan heavy metal wanita paling berpengaruh di dunia, Lovebites disahkan akan mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia menerusi Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur pada 4 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur.
Pengumuman oleh Rockstage Entertainment itu mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat metal tempatan yang selama ini hanya mengikuti perjalanan karier kumpulan tersebut menerusi album, rakaman persembahan langsung dan siri jelajah antarabangsa mereka.
Ditubuhkan pada 2016 di Tokyo, Lovebites pantas mencuri perhatian dunia menerusi gabungan unik power metal, speed metal dan melodic metal yang diperkukuhkan dengan kemahiran teknikal bertaraf antarabangsa.
Kumpulan itu dianggotai oleh Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar dan keyboard), Fami (bass) serta Haruna (dram). Mereka bukan sahaja dikenali sebagai kumpulan metal wanita, malah dianggap pemuzik virtuoso yang berjaya memecahkan stereotaip dalam genre yang lazimnya didominasi lelaki.
Nama Lovebites turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila pernah merangkul anugerah Best New Band di Metal Hammer Golden Gods Awards di United Kingdom. Mereka juga pernah menggegarkan pentas festival metal terkemuka dunia seperti Wacken Open Air, Download Festival dan Graspop Metal Meeting.
Menurut Pengarah Rockstage Entertainment, Talib Othman, usaha membawa Lovebites ke Malaysia telah dirancang sejak sekian lama susulan permintaan tinggi daripada peminat tempatan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami menerima banyak permintaan daripada peminat untuk membawa Lovebites ke Malaysia.
“Mereka bukan sekadar sebuah kumpulan metal wanita, tetapi sebuah fenomena global yang memiliki peminat setia di seluruh dunia,” ujarnya.
Beliau berkata, konsert tersebut dijangka menjadi antara acara metal paling dinanti-nantikan tahun ini kerana menandakan kemunculan pertama kumpulan berkenaan di Malaysia.
“Kami percaya konsert ini akan menjadi antara acara metal paling istimewa tahun ini kerana ia menandakan penampilan pertama mereka di Malaysia.
“Sudah tentu kami mahu memberikan pengalaman yang setanding dengan persembahan mereka di Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.
Bagi memastikan pengalaman terbaik buat peminat, pihak penganjur turut merancang produksi berskala penuh yang menampilkan sistem audio dan visual bertaraf antarabangsa.
Lovebites terkenal dengan ketepatan muzik, kualiti persembahan serta tenaga luar biasa di atas pentas. Pihak pengajur akan memastikan setiap aspek produksi termasuk sistem bunyi, pencahayaan dan pengalaman penonton berada pada tahap terbaik.
Dalam masa sama, Talib melihat penganjuran konsert ini sebagai petanda positif bahawa Malaysia semakin mendapat perhatian dalam kalangan penganjur antarabangsa sebagai destinasi penting bagi jelajah artis rock dan metal dunia.
“Komuniti metal di Malaysia sangat besar dan sentiasa memberikan sokongan luar biasa. Kehadiran Lovebites membuktikan negara kita semakin diiktiraf sebagai pasaran penting untuk artis-artis antarabangsa dalam genre ini,” tambahnya lagi.
Sepanjang karier mereka, Lovebites telah menghasilkan beberapa album yang mendapat pujian pengkritik termasuk Awakening From Abyss, Electric Pentagram, Judgement Day dan Lovebites EP II, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara nama terbesar dalam arena metal moden.
Berdasarkan persembahan terkini mereka di luar negara, peminat boleh menjangkakan lagu-lagu popular seperti Holy War, When Destinies Align, The Hammer of Wrath, Shadowmaker, Judgement Day dan We The United bakal menjadi antara kemuncak persembahan malam tersebut.
Dengan reputasi antarabangsa, kemahiran muzik yang luar biasa serta persembahan penuh tenaga yang menjadi identiti mereka, kemunculan pertama Lovebites di Kuala Lumpur dijangka mencipta satu lagi detik bersejarah buat komuniti metal Malaysia.
Bagi peminat yang mahu turut serta, tiket untuk menyaksikan konsert ini boleh didapati melalui MyTicket Empire.



