Berita

Hujan Lebat Punca Ikan Banyak Mati Di Tasik Danau Kota

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kematian ikan secara besar-besaran yang berlaku baru-baru ini di Tasik Taman Danau Kota mungkin berpunca daripada hujan lebat berterusan yang menjejaskan kualiti air tasik tersebut.

Menurut DBKL, pemerhatian awal mendapati hujan berterusan menyebabkan penurunan paras oksigen terlarut dalam air, perubahan kualiti air serta kemasukan mendapan dan bahan pencemar ke dalam tasik.

“Faktor-faktor ini menyebabkan tekanan kepada hidupan akuatik dan boleh menjejaskan kelangsungan hidup ikan,” menurut kenyataan DBKL hari ini.

DBKL berkata Tasik Taman Danau Kota merupakan tasik rekreasi yang turut berfungsi sebagai kolam takungan banjir dan kejadian kematian ikan seperti itu pernah berlaku di beberapa tasik serta kolam takungan banjir lain di sekitar bandar raya.

Menurutnya, air hujan yang mengalir masuk ke tasik dari kawasan berhampiran lazimnya membawa mendapan, bahan organik, sampah serta bahan pencemar daripada sistem perparitan.

DBKL berkata pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan mengutip dan melupuskan ikan-ikan yang mati bagi mengelakkan pencemaran air yang lebih serius.

Selain itu, perangkap sampah turut dipasang di laluan masuk air ke tasik, manakala Jabatan Alam Sekitar telah mengambil sampel air untuk tujuan analisis.

“DBKL akan terus memantau keadaan tasik dan melaksanakan langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan kawasan rekreasi ini kekal selamat, bersih dan selesa untuk penduduk,” katanya.

Baru-baru ini, pengguna media sosial melaporkan terdapat banyak ikan mati terapung di permukaan Tasik Taman Danau Kota yang mengeluarkan bau busuk serta menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kualiti air di kawasan tersebut.

Beberapa pengguna turut mendakwa ikan-ikan mati itu telah berada di situ selama beberapa hari dan laporan rasmi telah dibuat kepada DBKL berhubung perkara berkenaan.

Related Articles

Back to top button