Digelar ‘Spider-Man Yemen’, Lelaki Maut Terjatuh Dalam Kawah Gunung Berapi

Seorang lelaki berusia 30 tahun yang dikenali sebagai ‘Spider-Man Yemen maut selepas terjatuh ke dalam kawah gunung berapi ketika cuba memanjat dinding batu tanpa menggunakan sebarang peralatan keselamatan di Dhale, Yemen.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kejadian itu berlaku pada 12 Jun lalu di kawah gunung berapi Empangan Hardah.
Dalam rakaman video yang tular di media sosial, lelaki berkenaan, Al-Qaqa Ibn Antar, dilihat memanjat tebing berbatu yang mempunyai tulisan nama-nama Arab berwarna putih.
Pada satu ketika, dia dilihat melepaskan pegangan tangan kirinya dan hanya bergantung pada tangan kanan untuk berpaut pada dinding batu.
Bagaimanapun, Antar hilang cengkaman sebelum terjatuh ke dalam kawah tersebut.
Kedalaman kawah itu dianggarkan sekitar 120 meter, bersamaan kira-kira bangunan setinggi 40 tingkat.
Pasukan penyelamat tempatan termasuk pakar selam dan pakar operasi air dikerahkan bagi mengeluarkan mayat Antar yang ditemui di dasar kawah.
Penyelam dilaporkan menemui mayatnya kira-kira 30 meter di bawah permukaan air.
Pihak berkuasa tempatan menyifatkan operasi menyelamat itu sebagai amat berbahaya serta antara misi penyelamatan lapangan yang paling sukar dan kompleks pernah dijalankan.
Pasukan penyelamat turut dilaporkan menerima kenaikan pangkat selepas menunjukkan keupayaan luar biasa dalam operasi yang dijalankan di kawasan berbatu, persekitaran mencabar dan suhu tinggi di dalam kawah gunung berapi tersebut.
Menurut laporan, ini bukan kali pertama Antar memanjat kawah berkenaan.
Pada April 2026, dia dilaporkan pernah memanjat cerun kawah itu selama beberapa minit sambil melakukan pelbagai aksi kalistenik.
Antar juga dikatakan pernah menggunakan kemahiran memanjatnya untuk membantu operasi menyelamat.
Empangan Hardah, yang turut dikenali sebagai Haradhat Damt, merupakan sebuah kawah gunung berapi yang terletak berhampiran bandar Damt di selatan Yemen.
Kawah tersebut mempunyai dinding batu yang curam serta sebuah tasik panas mengandungi sulfur di dasarnya, sekali gus menjadi tarikan pengunjung.
Lokasi itu juga dilaporkan sering menjadi tumpuan individu yang cuba bergayut atau memanjat dinding batu kawah berkenaan.



