Demi Bela Maruah Diri & Keluarga, Sarimah Ibrahim Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Pemfitnah

Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim, 48, menegaskan tindakan undang-undang yang diambil terhadap individu yang didakwa menyebarkan fitnah serta serangan melampau terhadap dirinya di media sosial dibuat demi mempertahankan maruah diri dan keluarganya.
Menurut Sarimah, dia selama ini tidak pernah menutup ruang untuk menerima pandangan atau teguran daripada orang ramai selagi disampaikan dengan cara yang berhemah dan bertujuan untuk kebaikan.
Bagaimanapun, katanya, keadaan menjadi berbeza apabila kritikan yang diterima bertukar menjadi kecaman melampau sehingga melibatkan penghinaan dan serangan terhadap dirinya serta insan tersayang.
“Selama ini saya terima segala teguran membina dan perkara yang boleh diambil secara positif untuk memperbaiki diri.
“Tetapi apabila kata-kata yang dilemparkan sudah melampaui batas dan berubah menjadi kecaman dengan bahasa yang terlalu kasar sehingga menjejaskan maruah diri dan keluarga, saya fikir perlu ambil tindakan lebih tegas,” katanya.
Pelakon filem Konspirasi berkata, pendiriannya itu turut didorong oleh tanggungjawab sebagai figura awam yang perlu menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat, khususnya dalam menangani budaya buli siber yang semakin membimbangkan.
“Saya fikir kita juga menjadi contoh kepada anak-anak, artis baharu dan masyarakat. Orang selalu mengatakan artis menjadi contoh kepada masyarakat.
“Jadi, selama ini kita cuba menjadi contoh yang baik dan dalam situasi ini, kita juga perlu tunjukkan bahawa budaya buli bukan sesuatu yang boleh diterima,” jelasnya lagi.
Isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar itu turut berpandangan bahawa sikap berdiam diri terhadap perbuatan yang keterlaluan hanya akan membuka ruang kepada pelaku untuk terus mengulangi tindakan sama.
“Kalau kita hanya berdiam diri dan membiarkan perkara itu berlarutan selepas ia melampaui batas, secara tidak langsung kita seperti menggalakkan budaya buli tersebut. Jadi, seseorang perlu mempunyai pendirian,” katanya.
Dalam pada itu, Sarimah menjelaskan dia tidak pernah menganggap kritikan sebagai sesuatu yang negatif kerana sudah lama berdepan pelbagai reaksi sepanjang bergelar anak seni.
“Bagi saya, sebagai seorang ibu, isteri dan artis, kritikan atau teguran yang membina bukanlah satu masalah. Saya sudah lama berdepan perkara itu.
“Tetapi apabila berunsur fitnah, menggunakan bahasa kasar dan dilakukan secara berterusan tanpa mengikut adab serta nilai yang kita pegang, perkara itu sudah keterlaluan,” katanya lagi.
Tambah Sarimah, tindakannya bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya untuk menetapkan sempadan yang jelas terhadap perkara yang tidak sepatutnya dinormalisasikan dalam masyarakat.
Terdahulu, Sarimah memaklumkan serangan terhadap dirinya mula tercetus pada penghujung bulan lalu susulan kontroversi penarikan tayangan filem Konspirasi, sebelum didakwa berkembang menjadi serangan peribadi dan penyebaran fitnah yang tidak berasas.
Sebelum ini, menerusi satu hantaran di Threads, Sarimah turut berkongsi kenyataan rasmi yang dikeluarkan firma guaman Arif Azmi & Co berhubung tindakan undang-undang yang bakal diambil terhadap pihak yang didakwa mengeluarkan tuduhan palsu, kenyataan berbaur fitnah dan gangguan terhadap dirinya di media sosial.



