Salah Ulas Isu Pembantu Rumah Didakwa Didera Majikan, Aisar Khaled Mohon Maaf

Personaliti media sosial, Aisar Khaled, 25, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataan yang dimuat naiknya berhubung isu tular melibatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa menjadi mangsa keganasan oleh majikannya.
Aisar mengakui kekhilafannya kerana memberi pandangan mengenai kes tersebut tanpa melakukan penelitian dan semakan yang menyeluruh terlebih dahulu.
“Saya ingin memohon maaf dengan ikhlas atas video yang saya muat naik sebelum ini berkaitan kes melibatkan seorang pembantu rumah dan majikannya.
“Selepas membaca dan meneliti isu tersebut dengan lebih mendalam, saya sedar bahawa saya tidak membuat kajian yang mencukupi sebelum berkongsi video itu.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan tersebut,” katanya dalam sebuah hantaran di Threads.
Menurut Aisar, kenyataan yang dibuat sebelum ini bukan bertujuan untuk mempertahankan mana-mana individu yang terlibat mahupun memberi gambaran buruk terhadap rakyat Malaysia.
“Niat saya bukanlah untuk membela mana-mana pihak atau menggambarkan rakyat Malaysia secara negatif,” ujarnya lagi.
Permohonan maaf itu dibuat selepas videonya mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menganggap kenyataan tersebut dibuat tanpa memahami keseluruhan fakta kes yang sedang hangat diperkatakan.
Terdahulu, media sosial kecoh dengan penyebaran rakaman video yang memaparkan seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah dipercayai menjadi mangsa keganasan fizikal, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai.



