Concert

Fabio Asher Terpikat Dengan Nasi Tomato, Nadhif Setia Dengan Nasi Lemak… Tak Sabar Nak Hiburkan Peminat Di Malaysia

Penyanyi Indonesia, Fabio Asher dan Nadhif Basalamah tidak sabar untuk menghiburkan peminat tempatan menerusi konsert Rumah Hati Fabio Asher & Nadhif Basalamah Live in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Mega Star Arena pada 26 Julai depan.

Lebih menarik, konsert tersebut menjadi detik bersejarah buat kedua-dua penyanyi itu apabila buat pertama kalinya mereka akan berkongsi pentas dalam satu persembahan meskipun masing-masing sudah lama aktif dalam industri muzik Indonesia.

Menurut Fabio, peluang untuk berkolaborasi dengan Nadhif dalam sebuah konsert penuh cukup mengujakan kerana perkara itu belum pernah berlaku walaupun di negara asal mereka sendiri.

“Saya sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama saya dapat berkolaborasi dengan Nadhif Basalamah. Di Indonesia pun kami belum pernah berkongsi pentas dalam persembahan yang sama.

“Kami memang pernah beberapa kali berada dalam acara yang sama, tetapi tidak pernah membuat persembahan bersama. Jadi saya rasa ia akan menjadi sesuatu yang menarik dan istimewa. Mungkin juga ada kejutan yang kami sediakan untuk peminat di Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, Fabio dan Nadhif mengakui Malaysia mempunyai tempat tersendiri dalam hati mereka, malah dianggap seperti rumah kedua kerana hubungan erat yang terjalin dengan peminat di sini.

Bagi Fabio, sokongan yang diterimanya daripada peminat Malaysia sejak awal kemunculan dalam industri muzik menjadi sebab utama dia sentiasa teruja untuk kembali ke negara ini.

“Malaysia memang seperti rumah kedua buat saya. Hampir setiap tahun saya datang ke sini dan sambutan yang diberikan sentiasa luar biasa.

“Peminat Malaysia antara yang paling awal menyokong perjalanan muzik saya, jadi negara ini sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati saya. Saya berharap konsert kali ini akan menjadi kenangan yang indah buat semua,” ujarnya.

Sementara itu, Nadhif turut berkongsi pandangan sama dengan menyifatkan hubungan serumpun antara Malaysia dan Indonesia membuatkan dia sentiasa berasa dekat dengan negara ini.

“Malaysia mempunyai makna yang tersendiri bagi saya. Kita berkongsi banyak persamaan dari segi budaya dan bahasa, jadi saya sentiasa berasa selesa setiap kali berada di sini.

“Muzik juga mempunyai kuasa untuk menyatukan manusia dengan cara yang sukar dijelaskan. Sebab itu saya sentiasa gembira apabila berpeluang kembali ke Malaysia,” ujarnya.

Bercerita mengenai perkara yang paling dirinduinya setiap kali berkunjung ke Kuala Lumpur, Fabio tanpa berselindung mengakui jatuh cinta dengan keenakan nasi tomato yang pernah diperkenalkan oleh peminat tempatan.

“Saya memang akan mencari nasi tomato setiap kali datang ke Malaysia. Kali pertama saya mencubanya kerana diberikan oleh peminat dan sejak itu saya terus menyukainya,” konngsinya.

Berbeza pula dengan Nadhif yang lebih gemar menghabiskan masa di sekitar Bangsar selain menikmati hidangan nasi lemak kegemarannya.

“Saya suka lepak di kawasan Bangsar, terutamanya di APW. Selain itu, saya juga tidak pernah melepaskan peluang untuk makan Nasi Lemak Bumbung.

“Kalau mahu jumpa saya di Kuala Lumpur, besar kemungkinan saya berada di sekitar Bangsar,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button