Berita

CCTV Rakam Detik Wanita Diserang & Dicabul Dari Belakang, Polis Lancar Siasatan

Seorang wanita berusia awal 20-an menjadi mangsa cabul ketika berjalan pulang dari tempat kerja di Setia Alam, Selangor pada 9 Jun lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu telah tular di media sosial, manakala polis kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat.

Dalam rakaman tersebut, seorang lelaki dilihat memeluk dan meraba mangsa dari belakang sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Sarudin Samah, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 malam.

Mangsa ketika itu berjalan seorang diri melalui sebuah lorong sunyi di kawasan perumahan dalam perjalanan pulang ke rumah apabila diserang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai baju merah dan seluar hitam dari arah belakang.

“Suspek memeluk mangsa, menutup mulutnya sebelum bertindak mencium dan mencabulnya,” kata Sarudin seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

Dia berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian harta benda dalam kejadian tersebut.

Suspek kemudiannya melarikan diri selepas melakukan perbuatan itu.

Mangsa membuat laporan polis pada jam 9.06 malam hari yang sama.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Related Articles

Back to top button