Berita

“Sudah 3 Minggu Abang Meninggal, Saya Masih Trauma Kerana Terlalu Mengejut”

Penyanyi dan komposer, Aizat Amdan, 37, mengakui masih berdepan trauma selepas pemergian abang sulungnya, Allahyarham Amir Amdan yang meninggal dunia secara mengejut pada 14 Mei lalu.

Menurut Aizat, kehilangan insan tersayang itu cukup memberi kesan mendalam buat dirinya sekeluarga memandangkan arwah tidak pernah mempunyai sejarah penyakit serius sebelum ini.

“Sudah masuk tiga minggu arwah abang saya meninggalkan kami. Saya reda, tetapi sampai sekarang masih trauma bila teringat apa yang berlaku kerana semuanya terjadi terlalu mengejut.

“Arwah adalah adik-beradik pertama dalam keluarga kami yang pergi buat selamanya. Kehilangan itu memang sangat sakit untuk diterima,” katanya.

Aizat berkata, kejadian tersebut berlaku sejurus selepas dia bersama kumpulan SOG selesai menghadiri sidang media pelancaran lagu baharu mereka berjudul Ajar Aku di The Campus, Ampang.

Menurut penyanyi itu, arwah Amir yang masih bujang difahamkan mengadu sakit dada sebelum rebah di hadapan sebuah klinik.

“Dia memang tidak pernah sakit. Kami enam adik-beradik pun tak pernah nampak arwah ada masalah kesihatan atau keluar masuk hospital.

“Sebab itu apabila pemergiannya berlaku secara tiba-tiba, ia sangat memberi kejutan kepada kami semua,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, Aizat berkata arwah juga pernah meluahkan hasrat untuk meninggal dunia dalam keadaan mudah, tanpa menanggung kesakitan yang lama.

“Arwah pernah cakap kalau dia pergi nanti, dia mahu dipermudahkan dan tidak sakit. Dan akhirnya itulah yang berlaku. Setiap kali saya dengar lagu Ajar Aku, saya akan teringatkan arwah,” ujarnya.

Dalam masa sama, Aizat turut tersentuh apabila menerima pelbagai komen positif daripada orang ramai mengenai keperibadian Allahyarham Amir di media sosial.

Katanya, segala kata-kata baik yang dikongsikan sedikit sebanyak menjadi penawar buat dirinya dalam menghadapi kehilangan besar tersebut.

“Ramai berkongsi cerita baik mengenai arwah dan itu benar-benar mengubat hati saya,” katanya.

Menurut Aizat, arwah Amir juga banyak berjasa dalam kehidupannya termasuk pernah menguruskan kerjaya seninya selama setahun selepas tamat Akademi Fantasia musim kelima pada 2007.

Malah, nama syarikat miliknya, Kasi Gegar Entertainment juga merupakan idea yang dicadangkan oleh Allahyarham sendiri.

“Jasa arwah memang sangat besar dalam keluarga dan juga perjalanan kerjaya saya. Sampai sekarang saya masih cuba menerima kenyataan pemergiannya,” ungkapnya lagi.

Related Articles

Back to top button