Concert

Insomniacksc, Maliq & D’Essentials, Mahalini & Aziz Harun Perkuat ‘Line Up’ Latihan Pesta Pora Malaysia 2026

Selepas mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat menerusi pengumuman edisi kedua dan kejayaan jualan awal Blind Sale Tickets, Latihan Pestapora Malaysia 2026 kini mengumumkan senarai penuh artis yang bakal menggegarkan pentas festival muzik rentas budaya kali ini.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator, festival yang membawa semangat Pestapora dari Indonesia ini kembali dengan skala lebih besar pada 15 Ogos hadapan di Stadium Hoki Bukit Jalil, menghimpunkan barisan artis popular serantau dalam meraikan kepelbagaian genre, generasi dan budaya serumpun.

Menurut Ketua Projek Khas, Hitman Solutions Sdn Bhd, Keerand D, peminat pastinya teruja dengan barisan penyanyi yang akan dipersembahkan dalam edisi penganjuran kali ini.

“Disebabkan itu, kami mahu memastikan barisan artis tahun ini benar-benar mencerminkan apa yang peminat ingin lihat dan alami sendiri bukan sekadar besar dari segi nama tetapi juga kaya dengan pengalaman,” katanya.

Antara nama yang bakal menjadi tumpuan utama ialah Tulus, Romantic Echoes, Juicy Luicy, Bernadya, Mahalini, Maliq & D’Essentials, Rhoma Irama Soneta dan Nadhif Basalamah yang mewakili gelombang muzik Indonesia yang semakin mendapat tempat di hati peminat Malaysia.

Tidak ketinggalan, barisan artis tempatan seperti Aisha Retno, Aziz Harun, Gerhana Skacinta, Masdo, Insomniacks dan FUGŌ turut disenaraikan bagi memeriahkan festival dengan persembahan yang dijangka menampilkan gabungan elemen moden dan tradisional dalam landskap muzik Malaysia.

Lebih menarik, Latihan Pestapora Malaysia 2026 turut mempertaruhkan beberapa kolaborasi eksklusif yang hanya boleh disaksikan di festival tersebut. 

Antaranya ialah Rhoma Irama Soneta bersama Maliq & D’Essentials, Masdo bersama Gerhana Skacinta, serta gabungan Nadhif Basalamah, Aziz Harun dan Aisha Retno yang dijangka mencipta momen istimewa menerusi pertembungan genre dan generasi dalam satu pentas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, sambutan luar biasa terhadap jualan Blind Sale Tickets membuktikan kekuatan jenama Latihan Pestapora serta permintaan yang semakin meningkat terhadap festival muzik rentas budaya di Malaysia.

“Membawa Latihan Pestapora ke Malaysia merupakan satu pencapaian besar buat kami. Ia bukan sahaja kejayaan dari sudut penganjuran, tetapi juga satu kejayaan budaya. 

“Sambutan terhadap Blind Sale Tickets jelas menunjukkan keyakinan peminat terhadap apa yang dibawa oleh Latihan Pestapora,” katanya.

Penganjur turut memaklumkan bahawa pihak penganjur sedang giat melaksanakan pelbagai penambahbaikan bagi memastikan pengunjung lebih selesa dan menikmati pengalaman menyeronokkan. 

Antaranya termasuk penyediaan stesen air percuma di seluruh kawasan festival serta beberapa inisiatif baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Nadhif Basalamah (dari kiri) Aisha Retno dan Aziz Harun menghiburkan tetamu sempena sidang media baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup, menyifatkan Latihan Pestapora sebagai sebuah gerakan budaya yang semakin berkembang dan berjaya merapatkan hubungan antara peminat muzik Malaysia dan Indonesia.

“Kami melihat bagaimana peminat Malaysia sanggup ke Jakarta setiap tahun untuk merasai pengalaman Pestapora. Melalui Latihan Pestapora, kami mahu membawa semangat dan pengalaman itu lebih dekat dengan mereka,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa barisan artis yang dipilih tahun ini mencerminkan semangat muzik serumpun yang menjadi teras festival tersebut, sekali gus memperkukuhkan hubungan budaya dan industri kreatif antara kedua-dua negara.

Dengan gabungan artis popular, kolaborasi eksklusif dan pelbagai pembaharuan yang dijanjikan, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dilihat berada di landasan tepat untuk menjadi antara festival muzik paling besar dan dinanti-nantikan di rantau ini.

Bagi peminat yang ingin turut serta, tiket untuk menyaksikan Latihan Pestapora Malaysia 2026 kini boleh didapati menerusi laman rasmi www.latihanpestaporamalaysia.com.

Related Articles

Back to top button