Gaya Hidup

“Apa Saya Nak Jawab Dengan Allah?” – Ozlynn Wati Tak Lagi Bangga Dengan Koleksi Beg Mewah

Pelakon, Ozlynn Wati, 45, mengakui pandangannya terhadap kemewahan dan barangan berjenama sudah banyak berubah berbanding suatu ketika dahulu kerana dia kini lebih mengutamakan ketenangan hidup serta memikirkan soal bekalan untuk akhirat.

Menurut pemilik nama sebenar Rozlinawaty Ismail, dia pernah memiliki minat mendalam terhadap beg tangan mewah sehingga sanggup mendapatkan koleksi edisi terhad yang sukar diperoleh di pasaran.

Bagaimanapun, dia menjelaskan pembelian tersebut dibuat atas dasar minat peribadi dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk atau meraih perhatian orang ramai.

“Saya beli dulu sebab memang suka. Saya pilih warna yang mahal yang susah nak dapat dan memang terhad. Tapi saya beli itu bukan untuk tontonan umum pun.

“Hanya beberapa orang rakan rapat yang mengetahui bahawa saya mempunyai koleksi beg dan kadang-kadang mereka nak pakai pergi majlis pun saya bagi pinjam.

“Tapi sekarang ini, bila tengok sahaja koleksi beg itu semula, apa yang saya nak jawab dengan Allah nanti,” tulisnya menerusi satu hantaran.

Dalam perkongsian sama, isteri kepada Johan Raja Lawak itu turut mendedahkan dia kini lebih berhati-hati dalam soal pemilikan dan penggunaan pakaian, terutama yang tidak lagi sesuai dengan prinsip hidup yang dipegangnya sekarang.

Malah, Ozlynn memilih untuk tidak menjual semula pakaian mahal miliknya meskipun terpaksa menanggung kerugian kerana bimbang sekiranya ia menjadi saham yang tidak baik buat dirinya di kemudian hari.

“Baju mahal yang labuh tapi ikut bentuk tubuh pun saya tidak akan jual balik. Biarlah rugi di dunia. Sebab takut orang beli pakai saham saya dekat akhirat nanti macam mana?

“Beg mungkin ada yang nak jual sebab saya lebih suka kehidupan ringkas sekarang ini. Tenang,” katanya.

Perkongsian tersebut dibuat sebagai respons kepada persoalan seorang pengguna media sosial yang bertanya mengapa ada individu sanggup berbelanja besar untuk memiliki beg tangan berjenama dan bernilai tinggi.

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memuji keterbukaan Ozlynn berkongsi perubahan cara fikirnya, selain menganggap pandangan yang dikongsikan itu sebagai peringatan untuk lebih mengutamakan nilai kesederhanaan dalam kehidupan.

Related Articles

Back to top button