Viral

Didakwa ‘Check-In’ Hotel Dengan Seorang Wanita, Idan Aedan Selesai Guna Undang-Undang

Pelakon, Idan Aedan, 21, tampil menjawab dakwaan panas yang mengaitkan dirinya dengan seorang wanita berstatus kekasih orang sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam media social, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Muhammad Shahidan Abdullah menegaskan dia tidak mahu terburu-buru memberikan reaksi terhadap tuduhan tersebut, sebaliknya memilih untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang.

Menurut aktor itu, walaupun isu berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya, dia melihat perkara tersebut sebagai satu pengalaman baharu yang membuka matanya tentang cabaran sebenar bergelar anak seni.

“Ini kali pertama saya berdepan situasi seperti ini. Tetapi saya anggap ini pengalaman untuk memahami bagaimana rasanya dibenci.

“Saya tahu apa kebenaran, keluarga saya juga tahu. Walaupun ada rakaman disunting seolah-olah hanya saya berada di situ, hakikatnya keluarga saya turut ada bersama.

“Saya pilih untuk diam dan kekal profesional. Kami juga sudah serahkan perkara ini kepada peguam kerana ini melibatkan fitnah dan boleh menjejaskan nama saya dalam industri,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai hubungan dengan wanita yang dikaitkan dengannya itu, Idan menjelaskan mereka tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dan hanya mengenali antara satu sama lain atas urusan kerja.

Malah, Idan menegaskan dirinya masih belum mempunyai teman istimewa dan lebih selesa memberi keutamaan kepada kerjaya yang sedang berkembang ketika ini.

“Hubungan kami hanya sebagai rakan. Kami rapat sebagai satu kumpulan pelakon dan saya layan semua sama sahaja.

“Saya tidak rasa perlu jelaskan lebih lanjut kerana kami semua hanya kawan.Saya masih solo. Sudah lama tidak bercinta. Saya fokus kerja sahaja buat masa ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, pelakon muda itu menganggap apa yang berlaku sebagai sebahagian daripada asam garam dunia hiburan yang perlu ditempuh oleh mana-mana individu yang sedang membina nama dalam industri.

Menurutnya, dia memahami bahawa setiap kejayaan atau perhatian yang diterima pasti akan disusuli dengan pelbagai persepsi dan kritikan daripada sesetengah pihak.

“Apa yang saya faham dalam industri ini, bila seseorang berada di tempat tertentu atau sedang melalui fasa baik, pasti ada pihak cuba mencari salah.

“Walaupun kita buat yang terbaik, tetap akan ada suara sumbang. Jadi saya terima perkara ini sebagai satu ujian dan sebahagian perjalanan saya dalam industri,” katanya lagi.

Sebelum ini, nama Idan menjadi bualan hangat netizen selepas tular dakwaan seorang individu yang mendakwa teman wanitanya ‘check-in’ di sebuah hotel bersama pelakon tersebut.

Dakwaan itu turut disertakan dengan beberapa gambar dan tangkap layar yang kemudiannya mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial.

Related Articles

Back to top button