CMO Ini Dakwa Ada Gen Z Sukar Ditegur, Dedah Bekas Pekerja Siap Kutuk Bekas Majikan Di Telegram!

Seorang pengurus di Singapura mencetuskan perbincangan dalam talian selepas berkongsi kesukarannya mengurus pekerja muda, dengan mendakwa sesetengah pekerja Gen Z cepat melabel bos sebagai toksik atau suka ‘micromanage’ apabila diberi teguran.
Dalam satu hantaran TikTok, Sabrina, seorang ketua pegawai pemasaran (CMO) berusia 35 tahun berkata, dia mendapati sukar untuk bekerja dengan sesetengah pekerja daripada generasi Gen Z, yang lazimnya merujuk kepada individu lahir antara tahun 1997 hingga 2012.
“Sebagai seorang pengurus di Singapura, saya sudah memberhentikan lebih ramai Gen Z di pejabat daripada yang saya mampu kira,” tulisnya.
Menurut Sabrina, ada pekerja muda yang datang lewat sehingga sejam ke tempat kerja dan gagal menyiapkan tugasan mereka, namun masih meminta untuk mengurus projek peribadi ketika waktu pejabat.
Tambahnya, memberi maklum balas kepada mereka terasa seperti ‘berjalan di atas ais nipis’, walaupun dia cuba menyampaikan teguran secara profesional dan lembut.
“Anda boleh nampak mereka ambil perkara itu secara peribadi, dan sebelum anda sedar, mereka mula tidak bercakap dengan anda ketika waktu rehat, mengabaikan kehadiran anda dan bersikap dingin.
“Sebagai pengurus pun, kami berhak mendapat persekitaran kerja yang selamat,” tulisnya.
Sabrina juga mendakwa, apabila sesetengah pekerja diberhentikan, dia memilih untuk tidak menyatakan sebab sebenar secara terus kerana bimbang mereka akan menyebarkan khabar angin dan menjejaskan moral pasukan.
Bercakap kepada Stomp, Sabrina mengimbau satu insiden di mana seorang pekerja muda didakwa menjadi bermusuhan selepas diberhentikan kerana masalah ketepatan masa dan tugasan yang tidak siap.
Dia mendakwa pekerja tersebut kemudian membuka saluran Telegram yang menuduh pihak atasan syarikat sebagai mengongkong dan terlalu mengawal pekerja.
Menurut Sabrina, pekerja itu juga didakwa menghina bos dengan memanggil mereka sebagai gemuk, tua, dan menjijikkan, termasuk satu komen terhadap seorang rakan sekerja yang gemar memakai pakaian berwarna terang.
Bagaimanapun, Sabrina menjelaskan bahawa tidak semua pekerja Gen Z bersikap sedemikian.
Katanya, dia juga pernah bekerja dengan ramai pekerja dan pelatih Gen Z yang baik, bertanggungjawab terhadap tugasan mereka serta membantu rakan sekerja lebih berusia memahami meme TikTok dan trend dalam talian.
Gambar hiasan.



