Viral

Majlis Pertunangan Anak Kecil Di Indonesia Cetus Kritikan Netizen

Sebuah majlis bertemakan pertunangan yang didakwa dianjurkan oleh sepasang ibu bapa dari Indonesia untuk anak kecil mereka dilaporkan mencetuskan kritikan orang ramai.

Video majlis tersebut yang dimuat naik ke TikTok oleh pengguna @adellliiyyaaaa pada 18 Mei lalu kini telah meraih sebanyak 5.6 juta tontonan.

Rakaman tersebut menunjukkan pemilik akaun berjalan di jalan bersama satu rombongan orang ramai serta suasana majlis yang menyerupai sebuah majlis pertunangan.

Teks pada video itu pula berbunyi: “Main besan, Alena Arthan”.

Alena dan Arthan dipercayai merupakan nama kanak-kanak tersebut.

Video berkenaan turut memaparkan ibu bapa dan kanak-kanak terbabit bergambar di hadapan latar belakang yang dipenuhi nama mereka, selain imej suntingan yang kelihatan seperti pasangan bercinta.

Kedua-dua keluarga juga dilihat saling bertukar hadiah.

Satu lagi video majlis sama yang dimuat naik oleh akaun TikTok @jakarta.fess menunjukkan acara tersebut berlangsung di hadapan para tetamu.

Kedua-dua keluarga turut dilihat bergambar bersama seperti dalam sesi potret rasmi.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ibu bapa terbabit berniat menjadikan majlis itu sekadar gurauan atau benar-benar menganjurkannya secara serius.

Di ruangan komen TikTok, seorang pengguna menulis: “Mereka mungkin bukan jodoh satu sama lain. Jodoh itu di tangan Tuhan, bukan manusia.”

Seorang lagi pula berkata: “Macam mana kalau bila besar nanti mereka tak nak bersama sebab masing-masing suka orang lain? Macam mana tu sis?”

Namun begitu, ada juga netizen yang mengambil perkara itu secara lebih santai.

Seorang pengguna bergurau: “Patutnya ibu bapa saya buat macam ni juga dulu, tak adalah saya pening nak pilih pasangan sekarang.”

Related Articles

Back to top button