“Nampak Tulisan ‘Mak Tunggu Aku Balik’ Dalam Penjara”

Pelakon, June Lojong, 47, mengakui pengalaman menjayakan penggambaran filem seram terbaharu, Polong memberi kesan mendalam apabila dia perlu beraksi di lokasi sebenar yang penuh sejarah dan aura tersendiri.
Menurut pemilik nama sebenar Junainah M. Lojong, antara pengalaman paling sukar dilupakan ialah ketika penggambaran dilakukan di Penjara Lama Johor Bahru yang turut dikenali sebagai Kota Jail, khususnya di bahagian sel terakhir yang pernah menempatkan banduan menunggu hukuman.
“Meremang itu memang kerap berlaku. Lokasi penggambaran di Kota Jail, kami masuk ke sel terakhir, memang betul-betul sel terakhir.
“Babak dalam penjara, terutama babak menangis itu dirakam dalam sel sebenar. Walaupun penjara itu sudah ditinggalkan, aura tetap kuat dan membuatkan saya rasa seram,” katanya.
Tambah June lagi, walaupun terdapat adegan tertentu seperti hukuman gantung yang tidak dirakam di lokasi asal, pengalaman berada di kawasan penjara berkenaan tetap meninggalkan kesan emosi yang kuat kepada dirinya.
“Babak gantung sebenarnya dibuat menggunakan set di bangunan sebelah, tetapi bila berada di kawasan penjara asal, rasa meremang itu tetap ada.
“Tempat itu memang meninggalkan perasaan tidak selesa, tetapi dalam masa sama memberi pengalaman berbeza sebagai pelakon,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, June turut mendedahkan detik yang paling menyentuh perasaannya adalah apabila dia melihat sendiri kesan tulisan lama yang ditinggalkan oleh bekas banduan di dinding sel berkenaan.
“Rasa seram sejuk datang bersama keinsafan. Bila nampak tulisan seperti ‘mak tunggu aku balik’ atau ‘aku tak nak buat lagi’, hati terus tersentuh.
“Kita boleh bayangkan kehidupan mereka di dalam sel itu. Ia buat saya lebih menghargai kehidupan di luar,” jelasnya.
Menghidupkan watak Maria Hadi, June mengakui emosi wataknya kadang kala terbawa-bawa hingga ke luar set penggambaran, namun dia berusaha mengawalnya.
“Ada juga perasaan terbawa-bawa, seolah-olah ada sesuatu memerhati. Tapi saya cepat sedar dan kawal diri, ingatkan diri ini cuma lakonan.
“Balik rumah, saya cuba lepaskan semua rasa itu. Takut juga kalau dibiarkan berlarutan,” luahnya.



