“Saya Rindu Lisa”

Penyanyi dan pelakon, Datuk Yusry Abdul Halim, 52, mengakui dirinya sedang melalui fasa yang agak sukar apabila terpaksa berjauhan dengan isteri tercinta, Datin Lisa Surihani yang kini berada di tanah suci bagi menunaikan ibadah haji.
Menurut Yusry, kehilangan tempat untuk berkongsi cerita dan kegembiraan harian membuatkan dia benar-benar merasai kerinduan terhadap isterinya itu.
“Bagi saya, ini adalah fasa yang berat. Bila kita gembira dan berada di atas, tapi tak tahu dengan siapa nak dikongsikan kegembiraan itu, agak perit juga.
“Memanglah saya rindu pada Lisa. Pada masa sama, saya mahu dia tahu yang dia sentiasa berada dalam hati saya,” katanya.
Sebelum ini, hasrat Yusry untuk menemani Lisa mengerjakan ibadah haji tidak kesampaian apabila permohonan rayuannya dilaporkan tidak diluluskan oleh pihak Arab Saudi.
Berkongsi mengenai keadaan anak-anak pula, Yusry berkata mereka berada dalam keadaan baik namun mula merasai kehilangan ibu selepas lebih seminggu berjauhan.
“Kebetulan ini minggu mereka menghadapi peperiksaan dan sebagainya. Jadi sekarang saya memantau mereka sepenuh masa.
“Adalah beberapa perkara yang saya sendiri tak boleh lepaskan kepada orang lain,” ujarnya.
Tambah anggota kumpulan KRU itu lagi, dia kini mengambil alih sepenuhnya rutin harian anak-anak termasuk urusan menghantar dan mengambil mereka dari sekolah.
“Tambahan pula pembantu rumah baru bertukar, jadi saya tak boleh seratus peratus bergantung kepada orang lain. Saya sendiri yang hantar dan ambil mereka dari sekolah,” katanya.



