Music

Selepas Perak, Trio Surabaya Ini Pertaruh Di Hotel Malibu

Thee Marloes kembali mencuri perhatian dengan pelancaran album kedua mereka, Di Hotel Malibu yang kini rasmi diterbitkan bersama Big Crown Records.

Selepas mencipta identiti tersendiri menerusi album debut Perak dua tahun lalu, trio dari Surabaya ini tampil lebih berani meneroka bunyi baharu tanpa meninggalkan akar soul yang menjadi kekuatan utama mereka.

Dianggotai oleh Natassya Sianturi, Sinatrya Dharaka serta Tommy Satwick, album baharu ini memperlihatkan sisi muzik yang lebih bebas dan matang. 

Mereka bukan sahaja bereksperimen dengan susunan instrumen dan ritma yang lebih segar, malah turut membawa pendekatan muzik yang lebih santai dan terbuka.

Menurut band ini, Di Hotel Malibu lahir daripada pengalaman dua tahun kebelakangan ini daripada kisah cinta, realiti sosial hinggalah perubahan hidup selepas mendapat perhatian peminat antarabangsa.

Album ini memuatkan 14 lagu termasuk beberapa single yang sudah lebih awal mencuri perhatian seperti Harap dan Ragu, I’d Be Lost, What’s On Your Mind dan lagu utama Di Hotel Malibu.

Apa yang menarik, walaupun album ini kedengaran lebih eksperimental, identiti soul ala Indonesia yang dibawa Thee Marloes masih kuat terasa. 

Malah, peluang menjelajah dan memperkenalkan muzik mereka ke pentas dunia dikatakan menjadi pembakar semangat utama untuk menghasilkan karya ini.

Dengan Di Hotel Malibu, Thee Marloes membuktikan bahawa muzik soul dari Surabaya masih punya ruang besar untuk bersinar di pentas global.

Related Articles

Back to top button