Sony Music Dilapor Mahu Beli Katalog Lagu Justin Bieber & Neil Young

Sony Music Entertainment dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk memperoleh katalog muzik daripada firma ekuiti swasta Blackstone yang merangkumi karya artis seperti Justin Bieber dan Neil Young, menurut sumber yang dipetik oleh Bloomberg.
Syarikat rakaman itu kini sedang berunding untuk mengambil alih Recognition Music Group, portfolio aset muzik milik Blackstone.
Recognition memiliki atau mengurus hak bagi lebih 45,000 lagu.
Pengambilalihan itu dikatakan akan dilakukan menerusi usaha sama dengan dana kekayaan negara Singapura, GIC, dengan nilai transaksi dianggarkan antara 3.5 bilion AS dolar (RM13.68 bilion) hingga 4 bilion AS dolar (RM15.63 bilion).
Sebelum ini, pada Januari 2026, diumumkan bahawa Sony Music dan GIC akan membentuk usaha sama bagi memperoleh hak cipta pelbagai katalog muzik.
Bahagian muzik di bawah Sony Group Corporation akan mengurus katalog yang diperoleh, termasuk pengedaran ke platform penstriman serta pelesenan lagu-lagu lama untuk filem dan iklan.
Sementara itu, GIC akan menyediakan modal dan kepakaran pelaburan.
Bloomberg turut melaporkan Sony dan Blackstone enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, namun tidak dinyatakan sama ada pihak GIC turut dihubungi untuk memberi komen.
Sebelum ini, Justin Bieber dilaporkan menjual katalog muziknya kepada Hipgnosis Song Management dengan nilai sekitar 200 juta AS dolar (RM781 juta).
Perjanjian itu melibatkan lebih 290 karya yang diterbitkan sebelum penghujung tahun 2021.
Hipgnosis kemudiannya menjadi Recognition Music Group.
Menurut Bloomberg, syarikat muzik utama seperti Sony bertindak balas terhadap persaingan daripada firma kewangan seperti Blackstone dengan menubuhkan usaha sama bersama pelabur bagi memperoleh katalog muzik.
Pembelian lagu menerusi model sebegini membolehkan syarikat memperoleh aset bernilai tinggi tanpa terlalu membebankan kewangan mereka sendiri.



