Bisnes

20 Tahun Berniaga, Nasi Lemak Peniaga Ini Masih Kekal RM0.50 Sebungkus

Seorang penjual nasi lemak yang di Melaka menjadi perhatian ramai kerana mengekalkan harga yang sangat murah bagi setiap bungkus sejak hampir dua dekad lalu.

Bagi peniaga bernama Anuar Md Sani itu, tujuan utamanya menjual nasi lemak pada harga mampu milik bukanlah untuk meraih keuntungan semata-mata, tetapi untuk memastikan tiada sesiapa yang kelaparan.

Bercakap kepada China Press, Anuar berkata, gerai yang terletak di Jalan Bukit Tembakau itu pada asalnya diusahakan oleh ibu bapanya, di mana setiap bungkus nasi lemak dijual pada harga 30 sen.

Apabila dia mengambil alih, Anuar menaikkan harga kepada 50 sen dan mengekalkannya selama 20 tahun. Bagi minuman pula, ia dijual pada harga hanya RM1.

Anuar menambah, walaupun kos bahan seperti santan, beras dan gula semakin meningkat, dia tidak bercadang untuk menaikkan harga kerana ingin meringankan beban kewangan penduduk kampung, nelayan serta pekerja di sekitar kawasan tersebut.

“Walaupun keuntungan rendah, saya mampu menjual lebih 200 bungkus nasi lemak setiap hari dan sehingga 400 bungkus pada hujung minggu, yang cukup untuk menampung operasi serta membayar tujuh pekerja saya.

“Selagi saya masih mampu menanggung kos, saya akan terus mengekalkan harga ini. Berniaga bukan sekadar mencari keuntungan segera, tetapi membina sokongan jangka panjang daripada pelanggan,” katanya.

Selain nasi lemak biasa, gerai tersebut turut menawarkan nasi lemak beras basmati pada harga RM2.50 sepinggan, bersama pelbagai lauk-pauk.

Gerai itu dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 3 petang kecuali hari Jumaat.

Anuar turut berkongsi yang dia sering menerima reaksi terkejut daripada pelanggan yang sukar mempercayai harga nasi lemak yang dijual hanya 50 sen.

“Penduduk tempatan sudah biasa dengan harga ini, tetapi pelanggan luar sering kagum, terutama dalam keadaan harga barang semakin meningkat, menjadikan nasi lemak 50 sen hampir mustahil untuk ditemui,” tambahnya.

Menurut Anuar, walaupun setiap bungkus bersaiz kecil, dia tidak berkira dengan bahan, malah pelanggan masih boleh menikmati hidangan mengenyangkan dengan harga kurang daripada RM5.

Related Articles

Back to top button