Rai Kepelbagaian, Latihan Pestapapora Malaysia Kembali Diadakan

Setelah berjaya dengan acara penganjuran pada tahun lalu, Latihan Pestapora Malaysia 2026 kembali menghangatkan pentas hiburan tempatan apabila diumumkan bakal kembali diadakan pada 15 Ogos hadapan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Seperti mana yang diketahui umum, Latihan Pestapora edisi sulung tahun lalu mendapat sambutan luar biasa daripada peminat dan kali ini dijangka tampil dengan skala lebih besar dan pengalaman yang lebih memukau.
Festival muzik rentas sempadan ini terus mengekalkan konsep penyatuan artis Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas, sekali gus meraikan kepelbagaian karya muzik serantau.
Edisi pertama sebelum ini mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menarik kira-kira 25,000 pengunjung termasuk 10,000 peminat antarabangsa.
Barisan artis yang menghiasi pentas ketika itu turut menjadi bualan hangat termasuk Bunkface, Bittersweet, Pamungkas, Kunto Aji, Nadin Amizah serta kemunculan istimewa Sheila On 7 yang dinanti-nantikan peminat.

Kejayaan tersebut bukan sahaja mengukuhkan kedudukan festival ini sebagai antara acara muzik rentas budaya paling berpengaruh di rantau ini, malah turut meningkatkan minat peminat tempatan untuk menghadiri Pestapora di Jakarta, sekali gus merapatkan hubungan industri muzik Malaysia dan Indonesia.
Untuk edisi 2026, penganjur menjanjikan pengalaman festival yang dipertingkatkan dengan pelbagai penambahbaikan.
Antaranya termasuk ruang makanan lebih luas yang menampilkan lebih 50 vendor makanan dan gaya hidup, pemberian air mineral percuma kepada setiap pengunjung serta pelbagai aktiviti sampingan di kawasan festival.
Lebih menarik, acara ini akan berlangsung selama 12 jam tanpa henti selain persembahan lebih 15 artis yang lebih dekat dengan selera peminat Malaysia.
Jualan tiket Blind Sale bagi kategori general admission telah dibuka pada 30 April lalu dengan harga RM129.
Dengan gabungan barisan artis menarik dan pengalaman festival yang lebih mantap, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dilihat berpotensi sekali lagi mencipta momen bersejarah dalam kalendar hiburan tempatan.



