Global

Wanita Dakwa Suami Curang Dengan Sami, Tinggalkan Rumah Selepas 23 Tahun Kahwin

Seorang wanita Thailand dari wilayah Prachin Buri mendakwa suaminya meninggalkannya selepas menjalinkan hubungan sulit dengan seorang sami Buddha.

Mereka telah mendirikan rumah tangga selama 23 tahun.

Menurut laporan Khaosod English, kisah itu mula didedahkan pada 2 Mei lalu apabila satu halaman Facebook berkongsi cerita mengenai wanita tersebut.

Dakwanya, si suami meminta agar dia menerima hubungan tiga pihak (bersama sami), yang akhirnya mendorong wanita itu untuk meninggalkan rumah dengan hanya berbekalkan 6,000 baht (RM727) bagi memulakan kehidupan baharu.

Dakwaan tersebut tular di media sosial Thailand, dengan netizen mengkritik lelaki itu serta sami berkenaan kerana tindakan mereka yang dianggap melanggar disiplin keagamaan.

Wartawan tempatan kemudian mengunjungi sebuah kuil di Nakhon Ratchasima pada 4 Mei bagi mengesahkan dakwaan tersebut.

Seorang sami yang ditemu bual berkata, individu yang terlibat dalam dakwaan itu merupakan seorang yang suka menyendiri dan jarang bergaul, serta tidak kelihatan di kuil sejak kebelakangan ini.

Sami tersebut turut mengesahkan individu berkenaan tidak bernaung di kuil tersebut.
Menurut pihak berkuasa, sami yang dikaitkan dengan dakwaan itu kini berdaftar di sebuah kuil di daerah Det Udom.

Namun, pihak berkuasa memaklumkan mereka tidak mengetahui tentang kelakuan individu tersebut dan tidak dapat mengesahkan dakwaan yang dibuat.

Kuil Wat Bueng Phra Aram Luang, tempat sami itu pernah mempelajari kitab Buddha pada Julai 2025, turut menjelaskan individu tersebut bukan sebahagian daripada komuniti mereka.

Dalam kenyataan mereka, pihak kuil memaklumkan bahawa sami tersebut telah meninggalkan kuil itu pada Oktober 2025 selepas menetap sementara.

Kuil itu juga menegaskan bahawa sebarang tingkah laku yang didakwa adalah perkara peribadi dan tidak berkaitan dengan institusi tersebut, sambil meminta orang ramai menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Related Articles

Back to top button