Tiket Konsert BTS Di Busan ‘Licin’!

Kumpulan K-Pop popular, BTS berjaya menjual habis tiket bagi konsert mereka di Busan, Korea Selatan yang merupakan sebahagian daripada jelajah dunia ARIRANG.
Kumpulan itu dijadualkan membuat persembahan di Busan Asiad Main Stadium pada 12 dan 13 Jun depan.
Menurut agensi mereka, BigHit Music, kesemua tiket untuk kedua-dua hari telah habis dijual ketika sesi pra-jualan rasmi kelab peminat melalui NOL Ticket.
Situasi ini menandakan kembalinya BTS ke lokasi tersebut buat pertama kali dalam tempoh kira-kira tiga tahun lapan bulan sejak konsert mereka pada Oktober 2022, Yet to Come in Busan, yang diadakan bagi menyokong bidaan bandar itu untuk Expo Dunia 2030.
Konsert kali ini turut membawa makna istimewa apabila mereka kembali bertemu peminat di lokasi yang sama sebelum memulakan tempoh rehat wajib ketenteraan. Menariknya, 13 Jun juga merupakan tarikh ulang tahun debut kumpulan tersebut.
Bagi meraikan konsert di Busan, BTS akan melancarkan projek BTS The City Arirang di sekitar bandar itu dari 5 hingga 21 Jun. Inisiatif ini bertujuan menjadikan Busan sebagai hab budaya berskala besar dengan menggabungkan muzik serta penceritaan BTS ke dalam pelbagai ruang bandar, sekali gus menawarkan pengalaman imersif kepada peminat di seluruh kota.
Sementara itu, BTS baru sahaja mengadakan persembahan di Raymond James Stadium pada 25–26 dan 28 April, yang berjaya menarik kehadiran seramai 190,000 penonton.
Jelajah tersebut akan diteruskan di El Paso pada 2 dan 3 Mei, di mana pihak berkuasa tempatan telah mengisytiharkan tempoh tersebut sebagai El Paso BTS Weekend serta menganugerahkan kumpulan itu dengan anugerah “Estimado Amigo”.
Anggaran tempatan menunjukkan konsert tersebut berpotensi menjana impak ekonomi sekitar 110.5 bilion won (RM293 juta), sekali gus menonjolkan pengaruh global BTS yang luar biasa.



