“Saya Halalkan Semua Kesalahan & Dosa Ameng”

Penerbit Datuk A. Aida, 56, meluahkan rasa terharu melihat kesungguhan bekas suaminya, Ameng Spring yang sanggup membantu memantapkan persembahan bersama anak mereka, Azeva di pentas Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).
Malah, A. Aida secara terbuka mengakui dia menghalalkan segala dosa dan kesalahan Ameng terhadap dirinya sepanjang perkahwinan mereka sebelum ini. Menurutnya, tiada lagi rasa dendam atau masalah yang tersisa antara mereka berdua.
“Dia sanggup membantu saya dan Azeva untuk buat persembahan di TTMM2 bagi minggu pengenalan. Disebabkan bantuan dia, saya halalkan apa sahaja kesalahan Ameng, hal-hal yang lepas.
“Perkara yang lepas usah dikenang. Bukalah buku baharu. Apa-apa pun, dia tetap bapa kepada anak saya. Saya faham ada yang tidak boleh berdepan dengan bekas pasangan selepas bercerai, masing-masing ada sebab tersendiri.
“Tetapi bagi saya, saya halalkan semua dosa Ameng dengan saya. Dosa dia dengan Allah, dia jawab sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, A. Aida turut mengulas kritikan netizen yang menganggap caranya menguruskan persembahan anaknya sebelum ini sebagai keterlaluan.
Namun, dia enggan melayan komen negatif tersebut dan menegaskan segala yang dilakukan adalah demi memberikan yang terbaik.
“Saya cuba lakukan yang terbaik sebagai pengurus. Minggu lalu adalah episod pengenalan. Saya mahu tunjukkan kepada orang ramai bahawa anak saya boleh menyanyi, boleh bermain gitar dan dia ialah anak Ameng Spring.
“Ini juga kali pertama Azeva sepentas bersama bapanya. Kalau saya tidak ‘over’, takkanlah kami boleh viral dan trending sampai sekarang. Saya memang pengurus yang paling ‘perform’ sebab mampu membuat satu Malaysia menangis,” ujarnya lagi.



