Trending

Liza Hanim & Ameng Berdamai

Perselisihan faham yang tercetus antara penyanyi Liza Hanim dan Ameng akhirnya menemui titik noktah apabila kedua-dua pihak memilih untuk berdamai.

Isteri kepada Ameng, Sabariah Zakariah memaklumkan kemelut yang timbul sebelum ini berpunca daripada salah faham dan kini telah diselesaikan secara baik.

“Alhamdulillah, di petang Jumaat yang mulia ini, kemelut yang berlaku akibat salah faham antara Liza dan suami saya, Ameng Spring, kami anggap telah selesai dengan baik.

“Liza telah hubungi kami secara peribadi untuk memohon maaf atas apa yang berlaku. Kami hargai keikhlasan itu,” katanya dalam sebuah hantaran.

Dalam perkongsian sama, Sabariah turut memuat naik foto tangkap layar mesej permohonan maaf yang dihantar Liza kepada Ameng.

Menurut Sabariah, Liza mengakui kesilapan yang berlaku berpunca daripada emosi serta naluri sebagai seorang ibu, selain menerima dengan hati terbuka kenyataan yang dikeluarkan Ameng sebelum ini.

Terdahulu, Ameng tampil menjelaskan bahawa kenyataannya dalam sesi siaran langsung di TikTok mengenai kemenangan dan populariti tidak ditujukan kepada mana-mana individu, sebaliknya sekadar nasihat buat anaknya, Azeva Natassha.

Katanya, pandangan yang dilontarkan itu bersifat umum berdasarkan pengalaman peribadinya dalam industri seni dan bukan merujuk kepada kemenangan Marsya Qistina dalam program Talk To My Manager (TTMM).

Sabariah dalam masa sama menegaskan suaminya berhak mempertahankan diri terhadap salah tanggapan yang timbul, namun mereka memilih untuk tidak memanjangkan isu tersebut.

“Apa sahaja tanggapan yang timbul daripada penjelasan itu, biarlah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Kami memilih untuk tidak mengulas dan memanjangkan cerita.

“Apa yang sudah berlaku, biarlah ia berlalu dengan tenang. Kami mendoakan semoga Liza sekeluarga sentiasa berada dalam lindungan kasih sayang Allah, dikurniakan kebahagiaan, kejayaan, rezeki yang luas serta kesihatan yang baik.

“Kami juga berharap kepada semua, let’s stop this here. Terima kasih kepada media, kami tahu itu tugas anda,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button