Berita

Ajai Terpaksa Tolak Pelawaan Nourul Depp Muncul Di Konsert

Penyanyi dan komposer, Ajai terpaksa menolak jemputan untuk membuat penampilan dalam konsert bekas isterinya, Nourul Depp yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan.

Menurut Ajai keputusan itu bukan dibuat tanpa sebab, sebaliknya kerana jadual kerjanya yang terlalu padat ketika ini.

Walaupun mengakui teruja dengan peluang untuk kembali berkongsi pentas, dia tidak mampu memberikan komitmen seperti yang diharapkan.

“Buat masa ini, saya memang tidak dapat sertai konsert Nourul kerana ada beberapa komitmen penting yang tak dapat dielakkan. Namun, kalau ada rezeki lain, mungkin satu hari nanti akan ada konsert khas melibatkan kami berdua,” katanya.

Katanya lagi, pelawaan daripada Nourul memang ada, namun tarikh yang ditawarkan bertembung dengan jadual sedia ada. Fokusnya kini terarah sepenuhnya kepada memastikan konsert Exists berjalan lancar memandangkan banyak perkara perlu diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, Ajai turut menegaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk kembali bekerjasama dengan Nourul, malah menganggap segala kisah lama antara mereka sudah lama berlalu.

“Bagi saya, apa yang berlaku sebelum ini sudah pun selesai. Kami masing-masing sudah ‘move on’. Saya terbuka untuk bekerjasama, cuma kali ini saja kekangan masa menghalang,” jelasnya.

Ajai juga mengambil kesempatan untuk mendoakan kejayaan bekas isterinya itu, selain menyifatkan kemunculan semula Nourul dalam industri muzik sebagai sesuatu yang positif.

“Dia ada banyak lagu hits. Malah sebelum kami berduet dahulu pun, dia sudah ada lagu-lagu popular daripada album yang saya terbitkan. Sampai sekarang lagu-lagu itu masih relevan,” katanya lagi.

Mengulas tentang cabaran yang mungkin dihadapi Nourul dalam menjayakan konsert tersebut, Ajai berpandangan setiap artis yang ingin membuat kemunculan semula perlu bijak merancang strategi pemasaran.

Menurutnya, meskipun pernah mempunyai nama besar, seseorang artis tetap perlu bermula semula untuk menarik perhatian generasi peminat baharu selain mengekalkan sokongan peminat lama.

“Sekarang kita berdepan dengan dua kelompok iaitu peminat baharu dan juga peminat lama yang mungkin sudah berusia. Jadi penting untuk ada pendekatan yang sesuai bagi tarik minat kedua-duanya,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Ajai percaya Nourul tidak akan berdepan kesukaran besar kerana namanya sudah cukup kukuh dalam industri muzik tempatan.

Untuk rekod, Ajai dan Nourul pernah mendirikan rumah tangga pada 25 Disember 1996 sebelum berpisah pada 28 Februari 2007. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ayu Nazirah yang kini berusia 28 tahun.

Related Articles

Back to top button