“Itu Rumah Umi Ayah Saya, Terpulang Apa Hiasan Nak Letak”

Penyanyi Aliff Aziz, 35, memilih untuk tidak mencampuri urusan hiasan dalaman rumah ibu bapanya susulan isu tular yang mendakwa wajah bekas isterinya, Bella Astillah ditutup dalam beberapa foto keluarga.
Aliff enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, sebaliknya mempertahankan ibunya, Siti Hafiza Basharahil dengan menjelaskan situasi itu berlaku tanpa disengajakan ketika mereka sedang merakam ulasan juadah raya.
“Sebenarnya ini adalah perkara yang saya rasa tak sesuai untuk dikongsi. Itu adalah rumah umi ayah saya, terpulanglah kepada mereka apa hiasan yang mereka nak letak dalam rumah.
“Umi saya bukan sengaja, masa itu tengah buat reviu makan dan mungkin ramai orang yang ada masa untuk ‘freeze frame’ dan sebagainya. Saya tak boleh komen banyak fasal dalam rumah mak ayah saya,” katanya.
Dalam pada itu, Aliff menegaskan dia tidak mahu terus hanyut dengan persepsi negatif, sebaliknya mahu memberi fokus kepada usaha memperbaiki diri.
“Setiap orang ada persepsi masing-masing. Kalau saya nak buat sesuatu dalam hidup mengikut kata orang, maka saya akan berada di tahap itu sahaja.
“Saya sudah melakukan banyak perkara bodoh dalam hidup saya. Jadi sekarang ini saya perlu fokus untuk perbaiki diri,” ujarnya lagi.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan foto-foto keluarga di kediaman ibu bapa Aliff di Singapura yang didakwa menutup bahagian wajah Bella, sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat pelakon dan penyanyi itu.
Untuk rekod, Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan Bella pada 9 September 2016, namun berpisah pada 13 Jun 2024 selepas Bella mendakwa berlakunya kecurangan.
Sebelum itu, pasangan berkenaan juga pernah melalui fasa perceraian dan rujuk semula dalam tempoh idah pada 2019.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden dan Ara.



