Trending

“Que Haidar, Tolong Jangan Menghilang Lagi”

Pengarah dan pelakon, Nam Ron menyuarakan sokongan terhadap sahabatnya, Que Haidar yang kini berdepan kontroversi selain berharap isu berkenaan tidak menjejaskan semangat aktor itu untuk terus berkarya.

Menurut Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, kehilangan Que daripada industri seni suatu ketika dahulu memberi kesan besar kepada dunia perfileman tempatan, apatah lagi selepas aktor itu menyepi selama 16 tahun demi memberi tumpuan kepada keluarga.

“Saya sentiasa berdiri di belakang Que Haidar. Dia pernah mengorbankan kerjaya, impian dan cita-citanya demi keluarga.

“Kami merasai kehilangannya dan sentiasa merindui kehadirannya di layar,” katanya menerusi satu perkongsian.

Tambahnya, kemunculan semula Que menerusi filem Malaikat Malam sebelum ini disambut baik peminat, namun dakwaan terbaharu yang mengaitkan aktor itu dengan keretakan rumah tangga dilihat seakan-akan cuba menyingkirkan semula dia daripada industri.

“Ketika dia kembali untuk mengubat rindu peminat, dia seperti cuba ‘dirampas’ semula daripada kami.

“Tolong jangan menghilang lagi. Teruskan berdiri dan lawan. Jangan mengalah. Aku tahu kau kuat,” katanya lagi.

Terdahulu, nama Que menjadi perhatian selepas bekas isterinya, Linda Jasmine memuat naik kenyataan yang mencetuskan tanda tanya, termasuk hasrat untuk melindungi anak-anak daripada perkara negatif.

Untuk rekod, Linda dan Que mendirikan rumah tangga pada tahun 2009 sebelum disahkan bercerai pada Julai 2024.

Related Articles

Back to top button