“Mak Saya Tanya Bila Kami Nak Kahwin”

Pelakon Diana Danielle, 34, menegaskan hubungan cintanya bersama lelaki dikenali sebagai Bern hanya bermula selepas dirinya sah bercerai dan selesai menjalani tempoh idah.
Pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, berkata dia sebelum ini memilih untuk tidak mendedahkan perkara tersebut lebih awal bagi mengelakkan salah faham, khususnya berkaitan garis masa perkenalan mereka.
“Saya kenal dia sejak tahun lepas, tetapi saya tidak dedahkan lebih awal kerana takut orang salah faham, kononnya dia sudah hadir dalam hidup saya ketika masih bergelar isteri.
“Hakikatnya, saya kenal dia selepas habis tempoh idah. Saya bimbang mulut orang, sebab itu saya ambil langkah untuk berdiam diri dahulu,” katanya.
Menurut ibu dua anak itu, pertemuan pertama mereka berlaku secara kebetulan di sebuah majlis rumah terbuka sebelum hubungan tersebut berkembang secara perlahan.
“Kami bertemu di sebuah rumah terbuka. Dari situ, kami ambil masa untuk saling mengenali sebelum mengisytiharkan hubungan sebagai pasangan.
“Dulu saya terlalu memikirkan apa orang akan kata, tetapi sekarang saya bangga memiliki dia sebagai pasangan. Dia lelaki baik, dihormati dan disenangi ramai.
“Saya mahu meraikan fasa ini. Saya cuma mahu menghargai orang yang menjaga dan menyayangi saya, sebagaimana saya menyayangi mereka,” ujarnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka filem Terbang, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Diana turut berkongsi ibunya sudah mula bertanyakan soal masa depan termasuk perancangan perkahwinan.
“Mak saya pun sudah bertanya bila kami hendak berkahwin. Mungkin sebab hari ini semua ahli keluarga berkumpul.
“Tetapi bagi saya, kami masih belum sampai ke tahap itu. Masih banyak masa perlu diberi kepada diri sendiri dan anak-anak sebelum melangkah ke fasa lebih serius,” jelasnya.
Untuk rekod, Diana pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Farid Kamil pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad serta Nur Aurora.
Pasangan itu pernah bercerai secara dalam talian pada 10 Ogos 2023 sebelum kembali rujuk, namun berpisah kali kedua dengan talak satu pada 23 Mac 2025.



