Trending

Asyraf Khalid Mohon Maaf Kepada Fazura

Usahawan dan personaliti media sosial, Asyraf Khalid memilih untuk memperbaiki hubungan dengan pelakon Nur Fazura selepas kontroversi kenyataan lamanya yang pernah menyentuh isu peribadi selebriti itu.

Asyraf mengakui kekhilafan diri kerana mencampuri urusan yang tidak sepatutnya, terutama ketika membincangkan hal berkenaan dalam sebuah podcast sebelum ini.

Menurutnya, pertemuan secara kebetulan di majlis pertunangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah baru-baru ini menjadi ruang terbaik untuk memperbetulkan keadaan.

“Pada majlis pertunangan Saddiq dan Bella, saya duduk bertentangan dengan Fazura. Ramai yang tahu, beberapa tahun lalu, saya pernah melakukan kesilapan.

“Ketika Fazura berdepan isu peribadi, saya keluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya dan tidak kena pada tempatnya. Saya mencampuri hal yang sebenarnya bukan urusan saya sejak awal lagi,” tulisnya dalam sebuah hantaran.

Asyraf berkata, dia tidak mempunyai sebarang keberatan untuk duduk semeja dengan Fazura walaupun menyedari sejarah yang pernah berlaku antara mereka.

“Apabila Bella bertanya sama ada kami selesa duduk bersama, saya katakan sudah tentu tiada masalah daripada pihak saya.

“Apabila Fazura tiba, kami bersalaman dan berbual ringkas dan saya dapat rasakan, perkara ini bukan sekadar membabitkan netizen,” katanya lagi.

Tambah Asyraf, dia percaya kata-katanya sebelum ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada Fazura, apatah lagi mereka pernah saling mengenali.

“Dia mungkin juga terkesan dengan apa yang pernah saya katakan, lebih-lebih lagi kerana kami pernah saling mengenali sebelum ini.

“Jadi, apabila ada peluang, saya sedikit mendekat dan berkata, ‘Faz saya ingin memohon maaf atas apa yang saya katakan sebelum ini. Saya tidak sepatutnya memberi komen atau mencampuri urusan orang lain’.

“Dia mendengar dan dia menerima permohonan maaf saya. Selepas itu? Kami hanya teruskan perbualan mengenai kehidupan dan pelbagai perkara.Dia sangat baik dan itu cukup menggambarkan keperibadiannya,” ungkapnya lagi.

Terdahulu, Asyraf dan isterinya, Tya Ariffin menerima kecaman hebat daripada netizen selepas mengulas mengenai kemelut rumah tangga Fazura bersama bekas suaminya, aktor Fattah Amin dalam satu sesi podcast.

Related Articles

Back to top button