“Sekarang Kami Sahabat, Kalau Ada Jodoh Kahwin”

Pelakon, Que Haidar tampil menjelaskan status hubungannya dengan aktres Nur Fazura susulan spekulasi yang timbul mengenai keakraban mereka sejak kebelakangan ini.
Menurut pemilik nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar sahabat baik yang saling menyokong antara satu sama lain dalam kerjaya dan kehidupan masing-masing.
“Setakat ini, kami masih bersahabat dan sokong kerja masing-masing dan sedar ada fasa sendiri dalam hidup.
“Kami belum lagi ke fasa seterusnya. Kita masih bersahabat yang rapat. Kadang-kadang, saya masuk ‘live’ dia (Fazura) dan sokong kerja dia.
“Dia juga sokong saya. Hendak kongsi apa-apa, kongsikan, macam itu sahaja. Seperti majlis malam ini. Saya cakap dengan dia, hendak ikut tak pergi malam gala dan dia kata boleh,” katanya.
Mengulas lanjut, Que mendedahkan mereka sebenarnya sudah lama saling mengenali sejak awal pembabitan dalam industri seni, malah pernah berada dalam kelompok rakan yang sama.
“Kita memang kenal, kawan dahulu, iaitu sejak awal saya aktif dalam industri seni. Kami lebih kurang masuk industri seni sama-sama.
“Saya pernah keluar ramai-ramai dengan dia bersama Sharifah Amani. Kami geng satu ‘batch’,” kongsinya lagi.
Bagaimanapun, Que mengakui hubungan mereka ketika itu tidak begitu rapat seperti sekarang, sehinggalah bekerjasama dalam satu projek yang merapatkan lagi hubungan mereka.
“Apabila kami sama-sama buat kerja dengan Jakel, kita jadi rapat sebab selesa. Saya selesa dengan dia dan saya boleh gelar dia sahabat dan kita sokong kerja masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Que turut berkongsi mengenai prinsip dirinya dalam soal hubungan selepas melalui episod perceraian dengan bekas isterinya, Linda Jasmine pada Julai 2024.
“Bercinta ini selepas berkahwin. Kalau ada jodoh, kahwin, bercintalah. Jadi, sekarang memang kami bersahabat.
“Sekarang ini saya sibuk dengan kerja dan perniagaan. Saya mahu fokus dengan kerja,” ungkap Que.



