Berita

Ibu Tunggal 4 Anak Terharu Terima Kereta Daripada Penderma Misteri Bernilai RM110,000

Seorang ibu tunggal tidak dapat menahan sebak apabila dihadiahkan sebuah kereta baharu secara percuma oleh seorang penderma misteri.

Kisah menyentuh hati itu dikongsikan menerusi satu hantaran Facebook oleh Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Menurut Nurul Izzah, wanita tersebut yang dikenali sebagai Kak Fad mempunyai empat orang anak dan telah membesarkan mereka sendirian selepas suaminya meninggalkan keluarga itu 13 tahun lalu.

Daripada empat beradik itu, seorang merupakan orang kurang upaya (OKU), manakala anak sulung kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang Sains Perubatan di sebuah universiti antarabangsa dengan harapan dapat mencari penawar bagi penyakit adiknya.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan atau kewangan yang kukuh, Kak Fad tetap tabah mencari rezeki dengan menjahit pakaian, dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan.

Namun, ada kalanya dia langsung tidak mempunyai pendapatan sehingga tidak mampu membeli makanan untuk dirinya sendiri.

Lebih menyentuh hati, Kak Fad bangun seawal pukul 4 pagi setiap hari dan mengambil masa sekitar dua jam untuk menghantar anak istimewanya ke sekolah.

Kisah dua beranak ini mendapat perhatian banyak pihak.

“Dia perlu menaiki bas, kemudian MRT dan menolak kerusi roda selama 20 minit lagi untuk sampai ke sekolah. Sama ada hujan lebat, panas terik atau ketika dia sendiri tidak sihat, itulah rutin hariannya selama bertahun-tahun.

“Walaupun hidup susah, dia tidak pernah meminta-minta. Dia pendam segala kesakitan dan hanya menampilkan senyuman tenang seorang ibu yang reda dengan takdir,” tulis Nurul Izzah.

Tersentuh dengan nasib Kak Fad, Nurul Izzah menulis surat kepada beberapa pihak untuk memohon bantuan, namun kebanyakannya tidak mendapat maklum balas.

Tanpa disangka, salah seorang penerima surat tersebut tampil membantu dengan menaja sebuah kereta Chery Omoda 5 bernilai RM110,000 untuk Kak Fad.

Keluarga Kak Fad pastinya amat gembira dan bersyukur dengan pemberian tersebut.

“Dengan ‘kenderaan baharu’ ini, dia tidak lagi perlu bangun pukul 4 pagi, menahan sejuk menunggu bas, menaiki MRT dan berjalan 20 minit setiap hari hanya untuk menghantar anak ke sekolah.

“Malah, jika dia rajin dan bijak mengurus masa, dia juga boleh menjadi pemandu e-hailing untuk menambah pendapatan,” tambah Nurul Izzah.

Related Articles

Back to top button