Trending

“Saya Hampir Bakar Rumah Orang”

Pelakon, Zarif Ghazzi, 22, berkongsi kenangan zaman kanak-kanaknya yang cukup mencuit hati, namun hampir mengundang bahaya apabila satu insiden kecil nyaris menyebabkan kebakaran menjelang Aidilfitri.

Mengimbau kembali detik tersebut, Zarif mengakui ia antara pengalaman paling sukar dilupakan sepanjang hidupnya, lebih-lebih lagi kerana situasi itu berlaku tanpa diduga.

“Saya pernah hampir membakar rumah orang. Waktu itu saya dengan kawan, saya sudah beritahu dia jangan bakar pokok tebu sebab pokok itu sudah tua. Tetapi dia tetap bakar dan api semakin marak.

“Sepatutnya saya bantu, tetapi saya lari ke rumah jiran dan beritahu bahawa dia yang bakar, bukan saya. Yang penting masa itu saya mahu selamatkan diri dan nama sendiri,” katanya sambil ketawa.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika dia masih di bangku sekolah rendah, ketika zaman kanak-kanak yang penuh dengan kenakalan dan rasa ingin mencuba sesuatu tanpa berfikir panjang.

“Saya memang nakal waktu kecil, terutama masa nak sambut raya. Itu memang waktu budak-budak seronok, jadi banyak perkara yang kita buat tanpa fikir panjang,” ujarnya lagi.

Kini, seiring peningkatan usia, Zarif mengakui dirinya lebih matang dan memilih untuk menghayati Aidilfitri dengan cara yang lebih sederhana serta memberi keutamaan kepada keluarga.

Zarif berkata tradisi pulang ke kampung lebih awal masih menjadi amalan setiap tahun bagi membolehkan seluruh ahli keluarga berkumpul dan membuat persiapan bersama.

“Kalau boleh sehari atau dua hari sebelum raya kami sudah balik kampung. Semua akan berkumpul dan buat persiapan bersama seperti bakar lemang dan anyam ketupat.

“Jadi bila hari raya, kami makan makanan yang dimasak sendiri. Itu yang saya rasa paling bermakna,” katanya.

Tambahnya lagi, kemeriahan Aidilfitri tidak banyak berubah walaupun kini dia bergelar selebriti kerana baginya, nilai kekeluargaan tetap menjadi keutamaan.

“Bagi saya, raya tetap sama. Apa pun status kita, keluarga tetap keutamaan. Kita tidak akan layan keluarga seperti peminat.

“Cuma sekarang ini, anak-anak saudara sudah pandai ‘claim’ duit raya walaupun saya belum berkahwin,” katanya berseloroh.

Related Articles

Back to top button