Global

Peminat Jadi Ancaman? Nichkhun 2PM Dedah Detik Cemas Diekori Peminat Selama 30 Minit

Agensi JYP Entertainment mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap insiden gangguan peminat terhadap anggota kumpulan 2PM, Nichkhun.

Menerusi kenyataan, JYP Entertainment mengesahkan berlaku tingkah laku menghendap yang menceroboh privasi Nichkhun serta mengancam keselamatannya.

Menurut agensi itu, individu terbabit mengekori artis tersebut dalam tempoh yang lama, menunjukkan tingkah laku mengancam dan berulang kali cuba mendekatinya.

“Kami memandang serius perkara ini kerana ia mengancam keselamatan fizikal dan psikologi artis. Kami telah mengumpul bukti berkaitan dan sedang mengambil tindakan undang-undang,” menurut kenyataan tersebut.

JYP Entertainment turut menegaskan, dasar tiada toleransi terhadap sebarang bentuk gangguan.

Agensi itu menyatakan, jika kejadian serupa berulang, tindakan undang-undang tambahan akan diambil tanpa sebarang kelonggaran. Mereka juga menegaskan bahawa perbuatan menghendap, menjejaki atau menyebarkan maklumat pergerakan artis sehingga mengganggu kehidupan harian merupakan satu kesalahan jenayah.

“Kami meletakkan keutamaan tertinggi terhadap perlindungan hak dan keselamatan artis kami. Kami akan bertindak tegas tanpa pengecualian terhadap sebarang pelanggaran,” tambah mereka.

Selain itu, JYP Entertainment memaklumkan mereka turut mengumpul bukti terhadap hantaran dalam talian berunsur jahat yang menyasarkan artis mereka dan akan mengambil tindakan undang-undang. Agensi itu juga meminta kerjasama peminat untuk melaporkan sebarang insiden berkaitan.

Sebelum ini, Nichkhun sendiri berkongsi mengenai kejadian tersebut di media sosial. Menurut Nichkhun, dia diekori oleh seorang individu yang mendakwa sebagai peminat ketika sedang berjalan berhampiran rumahnya,

“Individu itu mengekori saya hampir 30 minit, menjerit secara agresif dalam bahasa Cina dan menggunakan kata-kata kesat sambil berada sangat dekat dengan saya.

“Saya bimbang individu itu akan menunggu dan mengekori saya lagi, jadi saya diiring pulang dengan kereta polis,” tambahnya.

Nichkhun turut memberi amaran kepada individu tersebut dengan berkata: “Saya tahu siapa anda dan saya akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Dalam masa sama, dia juga mendakwa individu berkenaan telah melakukan serangan fizikal terhadapnya dan menyatakan kebimbangan serius.

“Jangan fikir saya akan berdiam diri. Ini adalah pelanggaran serius terhadap privasi dan keselamatan saya,” katanya lagi.

JYP Entertainment menutup kenyataan dengan menegaskan semula pendirian mereka untuk terus melindungi artis di bawah naungan mereka dan akan mengambil tindakan tegas tanpa pengecualian terhadap mana-mana pihak yang melanggar hak serta keselamatan artis.

Related Articles

Back to top button