“Ibu Pernah Tanya, Bila Saya Nak Kahwin”

Pelakon, Nadhir Nasar, 30, menyatakan hasrat untuk terus tinggal bersama ibu bapanya walaupun suatu hari nanti dia akan mendirikan rumah tangga.
Pemilik nama sebenar Ahmad Nadhir Ahmad Nasar berkata, keputusan itu merupakan janji yang telah dibuat kepada dirinya sendiri kerana mahu menjaga kedua-dua orang tuanya.
“Saya mahu jaga mereka, itu janji saya. Dan saya masih boleh tinggal dengan ibu bapa walaupun sudah berkahwin nanti,” katanya.
Mengulas mengenai soal jodoh, Nadhir mengakui perkara tersebut pernah dibangkitkan oleh ibunya sebelum ini.
“Ibu pernah tanya bila saya nak kahwin. Jawab saya belum ada keinginan lagi. Balasnya Alhamdulillah, boleh jaga dia,” kongsinya.
Tambah pelakon itu lagi, setakat ini dia jarang menerima soalan mengenai perkahwinan daripada orang luar.
“Soalan pasal jodoh ini tidak pernah diajukan orang luar kepada saya. Mungkin disebabkan saya tidak nampak dewasa,” katanya berseloroh.
Berkongsi perkembangan keluarga, Nadhir memaklumkan bapanya sebelum ini dirawat di hospital dan dia kerap berulang-alik antara hospital dan kerja.
“Hari itu ayah tidak berapa sihat, sudah lebih seminggu dalam wad. Saya ulang-alik hospital dan kerja untuk menjaga ayah.
“Insya-Allah kalau ayah dah sihat ayah boleh keluar. Keadaan semakin stabil, doakan kesihatan ayah,” katanya.



