Trending

“Doktor Beritahu Saya Masih Muda, Kalau Mengandung Lagi Tiada Masalah”

Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat, 34, tidak menolak rezeki untuk menambah zuriat sekiranya diberi peluang, meskipun baru sahaja melahirkan anak ketiganya pada Januari lalu.

Menurut Ayda, soal jumlah anak merupakan perkara yang sangat subjektif dan bergantung kepada perancangan serta kemampuan setiap pasangan, selain tidak wajar dibandingkan dengan orang lain termasuk dalam kalangan selebriti.

“Perkara berkaitan anak ini sangat subjektif mengikut perancangan masing-masing. Saya hanya menyerahkan segalanya kepada Allah. Kalau ada rezeki, saya tidak menolak, malah saya dan suami memang ada perancangan juga.

“Kami sudah bertanya doktor bagaimana keadaan selepas melahirkan anak ketiga ini. Doktor beritahu saya masih muda, jadi kalau mengandung lagi tiada masalah atau komplikasi,” katanya.

Ayda berkata, buat masa ini dia dan suaminya, Nabil Mahir, tidak terlalu memikirkan soal menambah cahaya mata kerana mahu memberi tumpuan kepada proses pemulihan dirinya terlebih dahulu.

“Saya trauma juga dengan insiden luka pembedahan bersalin yang terbuka tempoh hari. Tapi mana tahu sekarang rasa trauma, mungkin dua atau tiga tahun lagi perasaan itu sudah hilang.

“Sebelum ini, anak pertama dan kedua tiada masalah. Cuma anak ketiga ini agak mencabar, tetapi bagi saya itu tetap rezeki,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Ayda mengakui memahami situasi pasangan lain yang berdepan cabaran berbeza dalam usaha mendapatkan zuriat.

“Saya faham ada pejuang garis satu dan garis dua, masing-masing ada cabaran serta faktor yang perlu difikirkan dan diselesaikan,” katanya.

Tambahnya lagi, setiap pasangan mempunyai keputusan dan keutamaan tersendiri, justeru dia menghormati pilihan yang dibuat oleh orang lain dalam merancang keluarga.

Untuk rekod, Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ana Nayla, Aali Mateen dan Anggun Mikayla yang dilahirkan pada 26 Januari lalu.

Related Articles

Back to top button