“Sepanjang Kahwin Isteri Tak Pernah Tukar Cadar, Saya Yang Lakukan”

Pelakon, Faizal Hussein, 58, berpendapat suami memainkan peranan penting dalam menguruskan kerja rumah dan menolak stereotaip lama yang sering meletakkan tanggungjawab tersebut hanya kepada wanita.
Menurut pemilik nama sebenar Mohd. Faizal Hussein, kerja-kerja berat seperti menukar cadar dan mengangkat tilam lebih sesuai dilakukan oleh lelaki kerana memerlukan tenaga yang lebih.
“Sepanjang kahwin, sampai hari ini, isteri saya tak pernah tukar cadar. Semua saya lakukan sendiri.
“Dulu mungkin orang anggap itu tugas wanita, tetapi sekarang tilam jenis spring tebal dan berat.
“Itu bukan lagi kerja wanita, itu kerja lelaki,” katanya menerusi satu hantaran.
Dalam masa sama, pelakon drama Bidaah itu menegaskan bahawa membantu menguruskan rumah tangga bukanlah satu beban, sebaliknya tanda kasih sayang terhadap pasangan.
“Saya memang suka buat kerja rumah seperti mencuci, vakum, bersihkan rumah dan lap habuk.
“Bagi saya, semua itu tanda kasih sayang saya kepada isteri. Sampai sekarang pun saya masih beri bunga kepadanya,” ujarnya.
Perkongsian tersebut nyata mencuri perhatian ramai apabila rata-rata netizen memuji sikap bertanggungjawab serta romantik yang dipamerkan pelakon berkenaan.
Untuk rekod, Faizal mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Suhaila pada 3 Julai 2004 dan pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fazryn, 21, serta Fazrick, 18 tahun.



