Berita

Adrian Rindu Arwah Andre

Anak kedua kepada pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam Khairil Idzhar tidak dapat menahan sebak apabila mengenang pemergian abangnya, Allahyarham Andre Mikael yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap tiga pada 23 Januari lalu.

Menurut Adrian, 18, kehilangan insan tersayang itu memberi kesan mendalam buat dirinya sehingga sukar membayangkan suasana Aidilfitri tahun ini tanpa kehadiran abangnya.

“Saya rindukan Andre, sepanjang bersama, kami adik-beradik tidak pernah bergaduh. Dia seorang abang yang sangat baik.

“Setakat ini saya belum terfikir lagi sama ada akan memakai baju raya warna kuning yang Andre pilih. Kami masih tidak terfikir mengenai sambutan raya,” katanya.

Adrian yang turut disahkan menghidap kanser tulang pada Ramadan pertama lalu bagaimanapun tetap berusaha untuk berfikiran positif dalam menghadapi ujian yang menimpanya.

Ujarnya, fokus utama ketika ini adalah untuk mendapatkan rawatan dan berusaha sembuh, walaupun terpaksa menangguhkan hasrat menyambung pengajian buat sementara waktu.

“Saya sentiasa berfikirkan positif, setakat ini tak ada rasa tertekan atau murung. Fokus saya sekarang adalah untuk kesembuhan dan saya tidak putus berdoa agar diberikan kesihatan yang baik.

“Memang sepatutnya saya nak menyambung pengajian dalam bidang muzik tetapi terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu untuk jalani rawatan,” katanya lagi.

Terdahulu, Adrian bersama ibunya hadir ke Angkasapuri bagi bertemu dengan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang turut menyampaikan sumbangan serta menyatakan komitmen untuk membantu mendapatkan rawatan yang terbaik buatnya.

Sebelum ini, Allahyarham Andre yang menghidap kanser paru-paru tahap tiga sejak setahun lalu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada 23 Februari lalu.

Ujian berat buat keluarga itu berterusan apabila Adrian pula disahkan menghidap kanser tulang sejak Februari lalu dan kini sedang menjalani rawatan alternatif bagi melawan penyakit berkenaan.

Related Articles

Back to top button