Mata Kiri Aaron Aziz Cedera

Pelakon, Datuk Aaron Aziz, 50, kini menerima rawatan di sebuah pusat perubatan selepas mengalami kecederaan pada mata kirinya dipercayai akibat terkena pantulan bola ketika bermain pickleball.
Aaron memaklumkan perkara tersebut menerusi satu hantaran video di media sosial, sekali gus memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri pertemuan bersama peminat seperti yang dijadualkan.
“Maaf, tak dapat hadir. Doktor tak benarkan saya keluar walaupun sekejap. Tak dapat nak bersama kalian di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR). Jadi, kalian berseronoklah. Insya-Allah kalau saya sembuh, perjumpaan akan datang,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Aaron turut menjelaskan bahawa mata kirinya perlu menerima rawatan rapi termasuk penggunaan ubat secara berkala mengikut nasihat doktor.
“Saya tak boleh buka mata, kalau buka ini pun sudah bengkak. Maaf kepada pihak produksi MIG dan Muaz kerana tak dapat hadir, (pihak) hospital memang tak benarkan saya keluar walaupun sekejap,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, pelakon filem Banduan itu tidak berkongsi secara terperinci tahap kecederaan yang dialaminya.
Sementara itu, isterinya Datin Diyana Halik memaklumkan bahawa dia kini berada di Singapura, manakala Aaron sedang menerima rawatan di Kuala Lumpur.
Tambah Diyana, kejadian tersebut berlaku ketika suaminya sedang menjalani sesi latihan pickleball seperti kebiasaannya.
“Kejadian berlaku ketika sesi latihan, dia memang selalu ada latihan pickleball setiap minggu.
“Ubat perlu diletakkan setiap 30 minit hingga satu jam, jadi tak dapat tidur dengan baik juga,” ujarnya.



