Gaya Hidup

“Bukan Kecilkan Hidung, Rawatan Lemahkan Otot Supaya Tak Kembang”

Pelakon, Zahiril Adzim, 41, tampil menjelaskan isu video rawatan hidung yang tular dengan menegaskan dia sama sekali tidak berniat mengubah bentuk asal hidungnya atau menjadikannya lebih kecil.

Pemilik nama penuh Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar, berkata rawatan yang dilakukan hanyalah bertujuan mengawal pergerakan otot di bahagian hidung, bukannya prosedur kosmetik seperti yang didakwa.

“Saya sendiri belum tengok video itu dan tak baca komen. Tapi saya memang tahu mereka nak muat naik, jadi tak ada apa yang nak dirahsiakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zahiril menegaskan hidungnya masih kekal seperti asal dan tidak melalui sebarang proses pengecilan.

“Hidung saya masih besar, saya bukan kecilkan hidung. Rawatan itu cuma untuk lemahkan otot sebab bila makin berusia, hidung boleh nampak makin kembang. Jadi saya buat supaya ia tak membesar,” jelasnya.

Dalam masa sama, aktor itu turut menolak tanggapan kononnya dia mahu memiliki hidung mancung atau kecil seperti selebriti luar negara.

“Saya tak ada niat nak hidung kecil macam hidung Korea. Jangan risau, saya memang tak akan buat,” katanya lagi.

Tambah Zahiril, selepas lebih 14 tahun berada dalam industri, perubahan drastik pasti akan mudah disedari orang ramai sekiranya dia benar-benar mahu mengubah penampilan.

Menyentuh kesan rawatan, Zahiril mengakui masih belum melihat perubahan ketara kerana ia baru kali pertama dilakukan.

“Baru pertama kali, jadi saya sendiri belum pasti perubahannya. Cuma rasa hidung jadi sedikit lembut,” ungkapnya.

Sebelum ini, sebuah video memaparkan Zahiril menjalani rawatan hidung di sebuah klinik kecantikan tular di media sosial, namun difahamkan rakaman tersebut telah dipadam oleh pihak klinik berkenaan.

Related Articles

Back to top button