Hisap Hingga 80 Batang Rokok Sehari, Lelaki Ini Hilang Suara Akibat Kanser Tiroid Tahap Empat

Seorang pesara penjawat awam berusia 68 tahun di Kelantan hilang suara secara kekal selepas bertahun-tahun merokok tegar.
Individu tersebut, Ismail Mahmud berkongsi kisahnya bersama Berita Harian mengenai bagaimana gaya hidup tidak sihat ketika muda membawa kepada keadaannya hari ini serta cara beliau menyesuaikan diri.
Menurut Ismail, semuanya bermula dengan tabiat merokok yang melampau ketika usia mudanya, sehingga mampu menghabiskan kira-kira 80 batang rokok sehari.
Tabiat itu akhirnya menjejaskan kesihatannya dan membawa kepada diagnosis kanser tiroid.
“Saya tidak rasa sakit dan hanya pergi ke klinik selepas tiga bulan mengalami simptom.
“Saya kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II selepas doktor mengesan simptom tersebut berkaitan kanser, dan saya disahkan menghidap kanser tiroid tahap empat,” katanya,
Ismail mengakui dia amat tertekan menerima berita itu kerana tidak pernah menyangka akan menghidap kanser.
Disebabkan keadaannya, dia menjalani pembedahan kecemasan selama 13 jam yang menyaksikan peti suaranya terpaksa dibuang kerana sel kanser telah merebak ke bahagian tersebut, sekali gus menyebabkan dia hilang suara sepenuhnya.
Selepas pembedahan, Ismail menjalani 30 sesi radioterapi dan kini masih menjalani pemeriksaan susulan setiap tiga bulan di hospital.
Kini, dia bergantung kepada alat bantuan pertuturan elektronik yang diletakkan pada leher untuk menghasilkan suara.
“Walaupun bunyi daripada alat itu mungkin kedengaran pelik, sekurang-kurangnya saya masih boleh bercakap dengan orang lain.
“Saya dulu seorang yang peramah, suka berbual dan gemar menyanyi. Tapi selepas hilang suara, hidup saya jadi sunyi kerana saya tak lagi dapat mendengar suara sendiri,” katanya.
Ismail kini bebas kanser dan mengamalkan pemakanan serta gaya hidup sihat bagi memastikan penyakit itu tidak berulang.



